utama

Isu potong 'que' vaksin, Eina Azman mohon maaf

Kuala Lumpur: Pelakon Datin Paduka Eina Azman memohon maaf kepada semua pihak susulan hantaran gambar yang dimuat naik memaparkan dia bersama suami sudah mendapatkan vaksin di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, pada 25 Mei lalu.

Eina berkata, dia tidak bermaksud untuk menyinggung sensitivi mana-mana pihak.

"Saya memohon maaf andai kata perkongsian saya di media sosial menimbulkan rasa kurang senang bagi sesetengah pihak. Saya tidak bermaksud untuk menyinggung sensitiviti sesiapa apatah lagi ketika isu vaksin menjadi perbualan hangat.

"Justeru itu, saya memadam hantaran daripada paparan di Instagram bagi mengelakkan isu ini daripada bertambah rumit," katanya.

Eina berkata, dia mengakui mempunyai masalah kesihatan yang dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi sehingga melayakkan dia dan suami mendapat suntikan vaksin itu.

"Malah, pihak berwajib juga sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini. Saya sendiri mempunyai masalah kesihatan namun terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum dan hanya untuk pengetahuan keluarga saja," katanya.

Terdahulu, Pengarah Hospital, Dr Abdul Malek Osman dalam kenyataan dikeluarkan mengesahkan pasangan itu tidak memotong barisan seperti dakwaan netizen sebaliknya dirujuk sebagai individu yang mempunyai masalah kesihatan dalam golongan berisiko.

"Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengambil maklum berkenaan isu tular di beberapa laman media sosial berkaitan seorang artis wanita yang dikenali sebagai Eina Azman bersama pasangannya didakwa memotong barisan dan mengambil vaksin Covid-19 di sini.

"Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HRPB menerima rujukan atau pelanggan daripada pelbagai fasiliti kesihatan dari dalam dan luar negeri Perak. Semua pesakit atau pelanggan yang dirujuk kepada PPV ini sudah menjalani pemeriksaan awal 'Pre Vaccination Assesment (PVA) yang hanya boleh didapati di klinik-klinik pakar perubatan hospital.

"Berdasarkan semakan, kelayakan pemberian suntikan vaksin kepada pasangan tersebut adalah berdasarkan kepada rujukan oleh doktor pakar yang merawat pasangan ini atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi oleh mereka. Tiada isu potong barisan dalam pemberian suntikan vaksin ini dan pasangan ini sudah dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar yang merawat kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi," katanya.

 

Disiarkan pada: May 28, 2021 @ 9:07am
d