utama

Semat jiwa patriotik!

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kelemahan mental dan fokus antara kekurangan membelenggu skuad Harimau Malaya terutamanya pemain naturalisasi negara.

Jelas bekas pemain kebangsaan, Azraai Khor Abdullah, berdasarkan pemerhatiannya dalam dua aksi persahabatan antarabangsa berdepan Kuwait dan Bahrain, beliau mengakui anak buah Tan Cheng Hoe memiliki kualiti tersendiri dan mampu mara lebih jauh pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.

Namun, seperkara yang sedikit mengusarkannya adalah berkenaan mental dan fokus pemain yang kadang-kala terganggu serta gemar mengikut emosi.

Katanya, jika kelemahan mental itu dapat diatasi, bekas jurulatih double treble Kedah itu yakin pasukan negara mampu membuat kejutan di saingan kelayakan itu bermula 3 Jun ini dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Saya lihat skuad kali ini adalah yang terbaik daripada sebelumnya. Perlawanan ketika menentang Bahrain menampakkan pasukan kita boleh memberi tentangan sehinggalah dua kesilapan sendiri dilakukan pemain.

"Tapi ada sedikit kebimbangan terutama mengenai kelemahan mental pemain, lebih lagi pemain naturalisasi seperti Liridon Krasniqi. Saya fikir, pasukan kena berikan sedikit input atau ingatkan tentang semangat patriotik apabila bermain untuk negara.

"Contoh macam tindakan di luar padang tak sepatutnya berlaku kerana mental Liridon yang cuba membantah (keputusan pengadil). Dalam padang pun kalau ikutkan gol kedua itu berpunca daripada kesilapan Liridon yang membuat hantaran ke belakang hingga penjaga gol tersilap bacaan bola.

"Patut kena fokus dan tak boleh hantar ke belakang kerana ia jelas membahayakan kubu pasukan. Namun saya secara peribadi, lihat skuad ini ada potensi cuma mental dan fokus harus dikuatkan lagi," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya tewas 1-4 kepada Kuwait dalam aksi persahabatan sebelum tumbang buat kali kedua kepada Bahrain dengan 0-2 menjelang baki tiga perlawanan kelayakan nanti.

Untuk rekod, skuad negara akan turun menentang UAE, Vietnam dan Thailand di mana ketika ini Malaysia menghuni tangga kedua dengan sembilan mata, dua mata di belakang Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G.

Thailand mengikuti rapat di tangga ketiga dengan lapan mata diikuti UAE dengan enam mata namun kekurangan satu perlawanan berbanding tiga pasukan di atas mereka.

Disiarkan pada: May 31, 2021 @ 7:00am
d