utama

'Mr Bean' jana pendapatan

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Rupa parasnya tidaklah mirip dengan watak siri popular Mr Bean yang dilakonkan pelawak Rowan Atkinson.

Namun, lakonan dan mimik muka Muhammad Hakimi Heykal Shuhaimi, 24, yang meniru karakter Mr Bean berjaya mencuri perhatian warganet sehingga mendapat sejuta tontonan setakat hari ini di aplikasi TikTok.

Lulusan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sungai Buloh, Selangor juga tidak menyangka perkongsiannya di platform media sosial miliknya itu mendapat tontonan tertinggi hanya dalam masa dua hari.

"Saya minat melakukan kandungan parodi dan meniru karektor Mr Bean itu bukanlah perkara baru kerana sudah melakonkannya sejak 2018 lagi serta memuat naiknya di TikTok.

"Terkejut tiba-tiba video itu mendapat perhatian dan gembira kerana rata-rata memberi komen yang positif," katanya ketika dihubung Harian Metro di sini.

Menurutnya, dia turut mendapat reaksi positif pengguna TikTok dari Indonesia dan Filipina yang terhibur dengan kandungan video meniru watak Mr Bean itu.

Katanya, dia baru saja aktif semula memuat naik kandungan di aplikasi TikTok miliknya disebabkan jadual yang sibuk ketika menjalani latihan industri di Pejabat Kesihatan Muar.

"Kini saya sudah tamat latihan industri dan luangkan masa aktif semula di TikTok sebelum melaporkan diri bagi jawatan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di KKM Julai depan.

"Sebenarnya, sejak sekolah lagi saya sering meniru watak Mr Bean apabila melawak dengan keluarga dan rakan tetapi tidak sangka pula menjadi," katanya yang berasal dari Kluang, Johor.

Menurut anak ketiga dari empat beradik itu, dia juga tidak menyangka daripada minat melakukan parodi di media sosial, kini mampu menjana pendapatan sampingan.

"Selain dapat menghiburkan penonton, saya juga dapat habuannya apabila menerima tawaran mempromosikan produk dan aplikasi sebuah syarikat dengan penampilan meniru gaya Mr Bean.

"Syukur Alhamdulillah,,,dapatlah saya jadikan duit poket sementara menunggu tawaran kerja tetap nanti," katanya.

Kongsinya, dia turut berpeluang dijemput ke TikTok Year End Party 2018 di Kuala Lumpur hasil berjaya meniru gaya Mr Bean.

Terdahulu, perkongsiannya meniru watak Mr Bean mendapat perhatian warganet di aplikasi TikTok sehingga meraih 1.3 juta tontonan dan 135,000 tanda suka.

Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 9:30pm
d