utama

Beri watak ringan dulu!

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ISU instafamous yang membanjiri bidang lakonan tanah air nampaknya dilihat menjadi isu yang semakin hangat diperkatakan dalam kalangan pelakon senior.

Tentunya, kehadiran mereka daripada satu perspektif mampu menjadi saingan buat pelakon sedia ada. Namun, daripada perspektif lain pula, ada juga mata-mata yang nampaknya mengutarakan mengenai lakonan mereka yang kebanyakannya masih di tahap 'kayu'.

Pelakon serba boleh, Nabila Huda berkata, tak semua instafamous yang mampu beraksi di depan kamera telefon untuk kandungan media sosial boleh berlakon di hadapan kamera.

"Saya juga ingin menyarankan kepada penerbit yang ingin mengambil mereka sebagai pelakon supaya memberikan watak ringan terlebih dulu," katanya.

Menurutnya, itu penting sebagai proses pembelajaran buat pelakon baharu itu supaya tidak kekok apabila beraksi di hadapan kamera untuk drama atau filem.

"Biar mereka biasakan diri dengan kamera terlebih dulu, jadi tidaklah mereka kelihatan kekok ketika berlakon," katanya.

Nabila melontarkan pendapat itu selepas meneliti banyak aspek termasuk untuk kebaikan pelakon baharu ini juga.

"Tidakkah anda kasihan apabila mereka yang belum cukup pengalaman lakonan ini diletakkan di hadapan (sebagai pelakon utama).

"Biar mereka kumpul pengalaman terlebih dahulu. Ini juga untuk menjaga maruah mereka supaya tidak menjadi bahan ketawa," katanya.

Dalam temu bual sama, Nabila juga menasihatkan Instafamous supaya berfikir semasak-masaknya sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan.

"Kalau saya jadi mereka, saya pun akan fikir semasak-masaknya dan takkan berani untuk terima tawaran lakonan. Kecaman netizen ini kadang-kadang boleh buatkan kita jatuh sampai ke bawah," katanya.

Nabila juga menyarankan kepada syarikat produksi supaya mengambil inisiatif untuk melengkapkan instafamous atau pelakon baharu itu dengan ilmu menerusi kelas lakonan.

"Saya sarankan kepada penerbit supaya keluarkan sedikit belanja untuk menghantar pelakon ini ke kelas lakonan terlebih dulu untuk sebulan atau dua bulan.

"Jadi, apabila masuk ke set, mereka sudah bersiap sedia dan proses penggambaran juga akan berjalan dengan lancar.

"Sekarang, kita semua mengejar masa. Kalau masuk ke set dan berkali-kali 'take' perlu dilakukan, memang banyak masa akan habis di situ saja," katanya.

Keluar wang sendiri untuk pastikan yang terbaik

Terbaharu, Nabila kini membintangi drama bersiri berjudul Diva Popular yang juga kesinambungan legasi telefilem Pengantin Popular arahan Rashid Sibir.

"Dalam drama bersiri ini, saya memegang peranan sebagai Erma Erika, anak kepada Datuk Rona Di Alfonso Di Al Bukhari lakonan Erma Fatima.

"Ini adalah cabaran baharu buat saya apabila perlu melakonkan watak komedi. Jadi, menerusi watak ini, penonton dapat melihat sisi berbeza saya yang sebelum ini sering dilihat membawakan watak berat," katanya.

Mengakui muncul rasa malu tatkala beraksi di depan kamera, Nabila memaksa dirinya untuk membuang perasaan itu dan menjadi diri sendiri.

"Memang rasa malu untuk berlakon watak sebegini kerana skripnya berbeza. Lebih-lebih lagi, nak jadikan watak itu sebagai watak yang macam ada masalah otak.

"Tapi, bila difikirkan semula, kalau saya malu, banyak kali 'take' perlu dilakukan. Jadi, saya buang rasa malu itu dan keluarkan perangai kelakar yang ada dalam diri saya," katanya.

Sebagai komitmen untuk menjayakan watak ini juga, Nabila menghabiskan banyak kos untuk persiapan dari sudut penataan gaya.

"Saya banyak habiskan belanja untuk solekan, pakaian dan penataan gaya. Memang saya sangat komited untuk menjayakan watak ini.

"Apa yang saya boleh kongsikan, selepas menolak segala kos yang saya keluarkan, jumlah baki gaji bersih yang tinggal untuk saya adalah lebih kurang RM2,000 saja.

"Sebab inilah saya tak pernah hidup kaya-raya atau mewah sampai ke kayangan sebab saya lebih suka mengeluarkan perbelanjaan untuk kerja," katanya.

Dalam drama 21 episod ini, Nabila turut bergandingan dengan beberapa pelakon hebat antaranya Erma, Ogy Ahmad Daud, Tiz Zaqyah dan Ben Amir.

Diva Popular disiarkan slot Dramatix setiap Isnin hingga Jumaat mulai jam 7 di Awesome TV melalui saluran 123 Astro dan saluran 112 di MyTV.

Disiarkan pada: June 6, 2021 @ 7:00am
d