utama

Polis siasat dakwaan MB Kedah pandu uji kenderaan di Pulau Pinang

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Polis membuka kertas siasatan berhubung beberapa gambar dan video tular memaparkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dipercayai berada di pusat pameran dan jualan di Autocity, Juru, di sini untuk memandu uji kenderaan pacuan empat roda, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis mengambil maklum perkara itu dan sedang menyiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini.

"Dalam hal ini, polis akan memanggil semua dipercayai terbabit dalam perkara itu termasuk penjual kereta, Menteri Besar Kedah dan mereka yang berada di sana untuk membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Semalam, tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan Muhammad Sanusi ke pusat pameran dan jualan kenderaan itu dipercayai untuk memandu uji sebuah pikap Ford Raptor di Auto City, Juru selepas dimuat naik seorang pengguna laman sosial Facebook.

Kejadian didakwa berlaku pada 6.30 petang semalam.

Menurut dakwaan itu, Menteri Besar itu dilihat datang ke pusat terbabit bersama dua lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).

Tindakan itu mendatangkan kecaman netizen dengan menyifatkan tindakan pemimpin berkenaan tidak sepatutnya berlaku memandangkan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dilaksanakan kerajaan sejak 1 Jun lalu.

Disiarkan pada: June 6, 2021 @ 11:12am
d