utama

Kanak-kanak 2 tahun maut disyaki didera ahli keluarganya

Oleh Norsyazwani Nasri

Betong: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia dengan kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai menjadi mangsa dera ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Zamry Alli berkata, pihaknya dimaklumkan oleh seorang pegawai perubatan dari Hospital Betong mengenai seorang kanak-kanak meninggal dunia yang disyaki didera pada 3.45 petang hari ini.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, polis pergi ke hospital terbabit bagi mengesahkan perkara itu.

"Hasil pemeriksaan pegawai perubatan terdapat beberapa kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan kanak-kanak itu yang berkemungkinan menyebabkan punca kematiannya," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak malang itu dikatakan dihantar oleh keluarganya ke hospital pada 3 petang.

"Polis sudah menahan empat ahli keluarga kanak-kanak berkenaan yang berusia lingkungan 22 hingga 65 tahun termasuk ibu bapanya.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Zamry berkata, kesemua suspek akan dibuat direman untuk siasatan selanjutnya.

"Kita memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat berkaitan kes ini.

"Serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2021 @ 10:58pm
d