utama

Wira Biosafety Level 3 [METROTV]

Oleh Azrul Affandi Sobry

Kuala Lumpur: Berdebar, selain rasa takut menyelubungi wartawan sebaik dimaklumkan akan dibenarkan menyaksikan sendiri bagaimana proses bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pesakit Covid-19 membabitkan kes dibawa mati di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur.

Pada masa sama, saya (Muhaamad Hafiz) bimbang berkemungkinan muntah atau pengsan sebaik menyaksikan proses bedah siasat berkenaan.

Namun saya dan rakan lain (Azrul Affandi, Amir, Ezairi dan Halim) ditenangkan pasukan perubatan forensik yang terbabit dalam bedah siasat itu.

Pasukan diketuai Pakar Perubatan Forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi, Pakar Radiologi Dr Grace Wong Yi Li, Pegawai Perubatan Forensik Dr Sara Afiqah Mohd Zawawi, Pegawai Perubatan Dr Nur Fatin Mohamed Isa, Penolong Pegawai Perubatan Forensik Wenner Taising, Pegawai Perubatan Dr Danial Aizat Rosli dan Pegawai Sains Forensik Nur Shazuwani Ruzlan yang ketika itu bersedia melakukan bedah siasat turut memberi penerangan ringkas kepada kami sebelum bedah siasat dijalankan.

Menonton rancangan televisyen berkaitan jenayah yang diselang-seli bedah siasat adalah perkara berbeza berbanding menyaksikannya secara langsung.

Namun demi tugas dan ingin melaporkan betapa seriusnya pandemik Covid-19 ini, kami bersetuju menyaksikan proses bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat seorang lelaki warga asing berusia 41 tahun. Tepat jam 5.50 petang kelmarin, pasukan Dr Ahmad Hafizam terus masuk ke bilik bedah siasat Biosafety Level 3.

Bilik itu bukan bilik bedah siasat biasa, sebaliknya ia bilik bedah siasat khas tekanan negatif (tekanan udara di dalam bilik lebih rendah dari udara persekitaran), kedap udara selain memiliki sistem pengudaraan yang berdiri sendiri.

Kami menyaksikan proses bedah siasat dari luar bilik Biosafety Level 3 yang turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Di sebalik bilik itu, kami lihat mayat masih berbungkus dibawa keluar daripada tempat simpanan mayat sebelum diletak di atas katil bedah siasat.

Selepas itu, Dr Ahmad Hafizam bersama pasukannya menjalankan proses bedah siasat.

Selama ini, sepanjang membuat liputan jenayah sama ada kes bunuh, kemalangan dan sebagainya, kami memang menyaksikan keadaan mayat yang adakalanya berlumuran darah, putus kaki serta tangan namun berlainan dalam situasi ini.

Ini kerana, ia jenazah cukup sifat dan dibedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya.

Kami menyaksikan paru-paru dan jantung dibawa keluar untuk pemeriksaan dan siasatan punca kematian selain ketelitian kumpulan pakar ini menjalankan tugas mereka.

Ketika itu perasaan takut dan berdebar sedikit berkurangan, malah kagum melihat pasukan Dr Ahmad Hafizam menjalankan amanah dan tugas mereka walaupun berdepan risiko dijangkiti Covid-19.

Kami tidak dapat menjelaskan terperinci berkaitan proses bedah siasat itu demi menjaga sensitiviti namun cukup dikatakan, pasukan perubatan forensik ini wira di sebalik usaha memerangi Covid-19.

Lebih membanggakan apabila Dr Ahmad Hafizam memberitahu, kami wakil media pertama dapat menyaksikan sendiri proses bedah siasat dijalankan.

Pendedahan Harian Metro berkaitan Covid-19 dan perit getir petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik ini diharap dapat membuka mata masyarakat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi memutuskan rantaian Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 7, 2021 @ 7:30am
    d