utama

Bayi Dr Fatihah selamat dilahirkan

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: "Semakin teruk ayah, ini pun tunggu nak masuk ke ICU (unit rawatan rapi). Doakan yang terbaik untuk Tehah."

Itu pesanan WhatsApp yang dikirim Dr Fatihah Shahrudin, 29, kepada ayahnya, Shahrudin Abu Bakar, 56, sebelum beliau dimasukkan ke ICU di Hospital Sungai Buloh, akibat dijangkiti Covid-19 sejak seminggu lalu.

Bapa saudaranya, Mohd Ali Mohd Derus berkata, ujian yang dilalui Dr Fatihah cukup getir apabila dia juga sedang mengandungkan bayi yang sudah pun berusia 29 minggu.

"Tapi Alhamdullilah, malam tadi doktor (di Hospital Sungai Buloh) maklumkan bayinya selamat dilahirkan dan terpaksa dikeluarkan lebih awal bagi mengelak sebarang komplikasi lebih buruk," katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata, Dr Fatihah pada mulanya dimasukkan ke Hospital Kajang pada 30 Mei lalu selepas dimaklum dijangkiti kuman pada paru-parunya, sebelum disahkan positif sehari selepas itu.

"Pada 3 Jun (Khamis lalu), dia dipindahkan ke ICU di Hospital Kajang sebelum dihantar ke ICU Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lebih rapi," katanya turut memaklumkan Dr Fatihah kini bertugas di Hospital Kajang, namun bukan mengendali kes-kes berkaitan Covid-19.

Mohd Ali berkata, selain Dr Fatihah, ahli keluarganya termasuk suami dan dua lagi anaknya, turut disahkan positif Covid-19 dan kini sedang dikuarantin di rumahnya.

"Selain suami dan anak, adik Dr Fatihah serta ibu dan ayahnya juga disahkan positif. Tehah memang kerap hantar anak mereka untuk dijaga ibu bapanya di Beranang, Selangor disebabkan rumah mereka dekat," katanya.

Kisah Dr Fatihah sebelum ini di kongsi menerusi satu ciapan di laman Twitter Public Health Malaysia, selain ramai pengguna media sosial itu turut mendoakan supaya Dr Fatihah dan bayinya selamat.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, mereka sekeluarga tidak putus-putus mendoakan supaya Dr Fatihah dan keluarganya segera pulih dan mengharapkan pandemik ini cepat reda.

"Mohon semua untuk doakan Dr Fatihah dan keluarganya. Terima kasih kepada semua doktor dan petugas barisan hadapan yang terus gagah menyempurnakan tugasnya merawat pesakit Covid-19. Semoga mereka juga dilindungi dari jangkitan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 7, 2021 @ 3:49pm
    d