utama

Perakam detik terakhir...

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Setiap kali menguruskan proses pengebumian mangsa akibat Covid-19, saya akan mengambil gambar atau video bukan sahaja untuk laporan jabatan tapi untuk keluarga mangsa," kata Penyelaras Operasi Covid-19 daerah Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisansahseni Raja Semail.

Beliau yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor berkata, umum mengetahui bahawa proses pengebumian pesakit Covid-19 tidak diiringi kaum keluarga seperti kematian biasa sebaliknya hanya boleh dilihat dari jarak jauh dan rakaman untuk kenangan juga terhad.

"Atas dasar empati, saya yang terbabit secara langsung dalam proses itu mengambil pendekatan merakamkan gambar atau video sepanjang proses pengebumian iaitu sebaik jenazah tiba di tanah perkuburan sehingga selesai.

"Ia adalah kerana sudah menjadi kebiasaan sebaik selesai proses, ahli keluarga yang berada di luar tanah perkuburan akan mendekati saya dan bertanya sama ada mempunyai sebarang rakaman sebelum memintanya untuk dijadikan kenangan mereka sekeluarga.

"Ada juga waris mangsa yang dibenarkan mengikuti proses pengebumian yang dihadkan kepada seorang atau dua dengan syarat mengenakan sut pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sebagai rekod sepanjang tahun ini, seramai 41 jenazah yang disebabkan Covid-19 sudah diuruskan di daerah ini oleh pasukan bomba yang terdiri daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersama anggota daripada BBP yang berkaitan serta kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah.

Raja Arisansahseni berkata, menguruskan dua atau tiga jenazah akibat Covid-19 dalam masa sehari sudah menjadi kebiasaan buat mereka dan tidak berasa letih meskipun perlu berkejar ke satu-satu tanah perkuburan.

"Tidak pernah kedengaran sebarang rungutan dari bibir anggota yang terbabit walaupun belum kering keringat selepas menanggalkan PPE dan perlu menyarung kembali sut baharu untuk ke proses pengebumian seterusnya.

"Pada Aidilfitri pertama lalu, tiga pengebumian mangsa Covid-19 yang perlu diuruskan namun bagi kami, ia satu tugas yang tidak boleh ditolak walaupun dalam cuti," katanya.

Sepanjang pandemik ini juga, pasukan bomba terutama daripada tiga BBP di Tumpat iaitu Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu dan Tumpat terbabit secara langsung dalam sanitasi awam, proses pengebumian malah yang terbaharu adalah penugasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Sungai Pinang.

Sambil berseloroh, Raja Arisansahseni menyifatkan penugasan mereka sempena pandemik Covid-19 boleh diibaratkan seperti tidak cukup tujuh hari seminggu kerana sentiasa ada tugasan yang perlu dijalankan selain daripada skop tugasan utama iaitu kebakaran.

"Pembabitan kami di PKPD ini yang bermula pada 22 Mei lalu sehingga kini adalah kerana kawasan ini terletak di gugusan pulau di delta Sungai Kelantan dan pengangkutan utamanya adalah bot atau sampan.

"Selain memindahkan pesakit yang positif Covid-19 untuk ke PKRC di tanah besar dan membawa mereka kembali ke rumah sebaik tamat tempoh kuarantin, kami juga membantu membawa pelbagai barangan keperluan penduduk yang disumbangkan sama ada dari pihak kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan ke jeti utama di mana-mana kampung dalam gugusan pulau itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 12:52pm
    d