utama

Terima kasih Syed Hassan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Walaupun berlainan bangsa namun ia tidak menghalang seorang lelaki membawa seorang jirannya menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampus Kesihatan Kubang Kerian di sini.

Syed Hassan Syed Bakar, 60 berkata, jirannya, Gan Giok Hiang, 90, mempunyai janji temu suntikan vaksin dos pertama di PPV Kampus Kesihatan Kubang Kerian dan dia secara sukarela menawarkan bantuan untuk menghantarnya itu mendapatkan suntikan berkenaan.

Menurutnya, anak Gan tinggal di Kota Bharu dan disebabkan tidak dapat merentas daerah susulan sekatan pergerakan penuh (SPP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, dia mengambil alih tanggungjawab untuk membawa jirannya itu ke PPV.

Katanya, disebabkan keadaan Gan yang perlu berkerusi roda, dia turut ditemani anak saudaranya, Lim Mik Way@ Lim Mik Wang, 79.

"Saya memandu sejauh 45 kilometer (km) dan bergerak dari Rantau Panjang jam 9.30 pagi dan sampai di PPV jam 11 pagi.

"Setibanya di PPV, kami tidak perlu menunggu giliran terlalu lama untuk menerima suntikan vaksin.

"Dalam masa sama, Lim yang menemani ibu saudaranya juga bernasib baik apabila petugas kesihatan di PPV berkenaan menawarkan suntikan vaksin kepadanya memandangkan dia juga tergolong dalam kalangan warga emas dan pesakit yang berdaftar di bawah Hospital USM," katanya di PPV Kampus Kesihatan Kubang Kerian, kelmarin.

Syed Hassan berkata, dua minggu lalu, kakaknya, Sharifah Zainab, 63, membantu Gan mendaftar suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Dalam maklumat penerima suntikan, kakak saya mengisi nombor telefonnya memandangkan Gan tidak mempunyai telefon bimbit untuk berkomunikasi dan dalam masa sama bagi memudahkan mana-mana pihak menghubungi sekiranya dipanggil untuk menerima suntikan vaksin.

"Kakak saya juga berpesan supaya membawa mereka ke PPV sebaik mendapat tarikh janji temu untuk suntikan vaksin dan sebelum ini saya juga selalu menghantar mereka ke hospital setiap kali janji temu di hospital.

"Saya mengenali mereka berdua sejak kecil dan setiap kali memerlukan pertolongan, seorang daripada mereka akan menghubungi saya dan memandangkan kami yang sudah lama tinggal berjiran serta saling membantu antara satu sama lain," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2021 @ 6:50am
d