utama

Teknik lubang gali emas

Oleh Mohd Rafi Mamat

Muadzam Shah: Serbuk emas yang banyak terdapat di perut bumi Hutan Simpan Ibam di sini, sejak sekian lama ternyata menjadi sasaran kegiatan melombong secara haram bagi mendapatkan galian berharga terbabit.

Biarpun sebelum ini kaedah palong dan dulang aktif digunakan namun kini sindiket mula menggunakan kaedah lubang bagi mendapatkan tanah serta batu yang mengandungi emas berikutan cara itu dikatakan lebih memberi hasil lumayan.

Kegiatan melombong secara haram terbabit terbongkar menerusi Operasi Bersepadu Lombong yang diadakan Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Timur dan Zon Barat dan Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (Unified) selama tiga hari berakhir, kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, perjalanan sejauh kira-kira 45 kilometer melalui jalan balak yang berdebu menemukan lokasi aktiviti melombong emas haram di Kompartment 189 Hutan Simpan Ibam yang dipercayai dilakukan tiga hingga empat lelaki warga asing.

Menurutnya, serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Zon Pahang Timur, Zaidi Osman bersama 30 anggota UPK JPNP dan Unified.

Dalam serbuan yang dilakukan pihaknya menemui kawasan melombong secara haram yang dipercayai dilakukan tiga hingga empat lelaki warga asing.

Katanya, kelibat pemberi maklumat atau tolong orang nak tipu orang atau tonto menjadi penghalang pihaknya menahan individu terbabit yang terlebih dahulu meninggalkan tempat terbabit, usaha mengesan mereka menemui gagal walaupun kawasan terbabit sudah dikepung.

"Ini kali pertama kita mengesan kegiatan melombong emas secara haram menggunakan kaedah lubang. Sebelum ini aktiviti itu menggunakan teknik palong dan ayak dengan kuali besi.

"Saya tidak menolak kemungkinan peratus serbuk emas yang banyak di tempat terbabit menjadi faktor teknik lubang digunakan walaupun ia begitu berbahaya kerana boleh berlaku kejadian tanah runtuh dan tertimbus.

"Kita percaya kegiatan haram itu dilakukan waktu siang dan malam terutama dalam sekatan pergerakan penuh (SPP) kini.

"Kegiatan mengambil tanah serta batu yang mengandungi emas dilakukan waktu malam kerana pantulan kilauan emas lebih jelas," katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini semalam.

Beliau menambah, tanah dan batu terpilih diletakkan dalam guni sebelum dipindahkan untuk aktiviti mengayak di kawasan takungan air yang disediakan.

Nor Azirim berkata, sindiket terbabit membabitkan mereka yang profesional dan menggunakan teknologi moden untuk mengesan jajaran emas yang terdapat dalam Hutan Simpan Ibam.

Malah, bagi melancarkan kegiatan, katanya, penceroboh terbabit menggunakan jentera untuk mengorek bukit batu sebelum membina lubang mengikut jajaran emas jelas kelihatan.

"Kesalahan yang dilakukan ialah memasuki hutan simpan tanpa permit mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

"Dalam operasi bersepadu kali ini dua jengkaut turut disita kerana berada dalam Hutan Simpan Ibam di Kompartment 261, kita akan terus melakukan rondaan secara berterusan di kawasan Hutan Simpan Ibam bagi mengesan aktiviti melombong emas secara haram," katanya.

Mengulas lanjut, Nor Azirim berkata, awal tahun lalu anggota UTK PHD Rompin menahan empat individu yang melakukan kegiatan melombong emas secara haram di Sungai Charah dalam Hutan Simpan Ibam, mereka melombong dalam kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar.

Sementara itu, tinjauan di kawasan itu mendapati individu yang melakukan kegiatan haram itu tinggal dalam pondok yang terletak beberapa meter dari lombong, kedudukan kawasan berkenaan di atas bukit berbatu.

Disiarkan pada: June 12, 2021 @ 12:00pm
d