utama

Kuat main sihir

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Bangi: Amalan syirik seperti sihir dalam kalangan masyarakat masih tinggi dan buktinya, kira-kira 44,000 pesakit berkaitan kerohanian termasuk akibat disihir mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Darussyifa'.

Ketua Lajnah Penyelidikan dan Pembangunan Darussyifa' Malaysia, Datuk Abdul Rashid Mat Amin berkata, hasil tinjauan di 45 daripada 90 Pusat Rawatan Darussyifa' di seluruh negara pada 2019, secara keseluruhan, 94,000 pesakit menerima rawatan di pusat rawatan ini.

"Daripada jumlah keseluruhan itu, kira-kira 70 peratus atau kira-kira 65,000 adalah pesakit wanita.

"Daripada jumlah 65,000 itu, kira-kira 44,000 berdepan pelbagai penyakit kerohanian. Penyakit rohani terdiri daripada pelbagai jenis dan satu daripadanya ialah gangguan akibat perbuatan sihir," katanya.

Menurut Abdul Rashid, pengamal amalan syirik sihir itu pula membabitkan individu yang mempelajari ilmu sihir dan yang mendapatkan khidmat sihir daripada pengamal ilmu syirik terbabit.

Kata Abdul Rashid, pengamal amalan sihir pula membabitkan individu yang mempelajari ilmu sihir serta yang mendapatkan khidmat sihir daripada pengamal ilmu syirik terbabit.

"Pengasas Darussyifa', Allahyarham Datuk Dr Haron Din pernah menyatakan bahawa walaupun masyarakat sudah hidup pada zaman moden, amalan dan kebergantungan mereka terhadap amalan sihir masih tidak berkurangan.

"Sudah tentunya trend ini amat membimbangkan kerana kepercayaan kepada perkara khurafat dan perbuatan syirik boleh mengakibatkan berlakunya pergeseran akidah umat Islam," katanya.

Ini kerana, menurut Abdul Rashid, perantara bagi amalan sihir tidak terlepas daripada bantuan iblis, jin serta syaitan yang penuh tipu daya selain menyesatkan," katanya.

Abdul Rashid berkata, sekurang-kurangnya ada tiga komponen mengapa seseorang itu terdorong untuk mempelajari dan mendapatkan khidmat sihir.

"Pertama, kerana ingin mendapatkan kelebihan dan kuasa supaya individu ini dikenali ramai seperti belajar ilmu kebal.

"Kedua, untuk kecantikan, kacak dan kelihatan menarik serta awet muda dengan cara memakai susuk.

"Ketiga, ia bertujuan mendatangkan penderitaan dan kesakitan berpanjangan kepada individu yang disihir. Ia biasanya didorong perasaan dengki, benci serta dendam," katanya.

Menurut Abdul Rashid, antara bentuk sihir yang zalim tanpa perikemanusiaan adalah sihir santau, sihir pemisah (suami isteri), sihir pendarahan (wanita datang bulan tidak berhenti-henti) dan sihir memandulkan.

Jelasnya, senario seperti ini menunjukkan amalan sihir masih mendapat tempat dalam hati masyarakat.

Kata Abdul Rashid, golongan seperti ini terlalu rapuh jiwanya menyebabkan mereka mudah mempercayai 'kuasa' makhluk lain selain daripada Allah SWT.

"Ada kalanya, segelintir individu mempunyai kepercayaan kuat bahawa penyakitnya boleh sembuh jika bertemu pengamal ilmu sihir.

"Oleh itu, mereka terbawa-bawa dan percaya sepenuhnya bahawa jampi, mantera, tangkal serta azimat yang diperoleh daripada pengamal ilmu sihir terbabit boleh menyembuhkan penyakitnya.

"Cara ini boleh menyebabkan berlakunya pergeseran akidah kerana meletakkan kepercayaan bahawa yang menyembuhkan bukan lagi Allah SWT," katanya.

Abdul Rashid berkata, sihir bermaksud 'sembunyi' sehinggakan penyihir akan membuatkan mangsa tidak mengetahui dirinya disihir.

"Sebahagian besar pesakit yang datang ke Darussyifa' mengadu mereka sudah mendapatkan rawatan di hospital atau klinik, tetapi diberitahu tiada penyakit fizikal yang dapat dikesan, namun sakit masih berterusan.

"Ada individu tidak dapat melakukan pekerjaan selepas dinaikkan pangkat, sedangkan sebelum itu dia cemerlang dalam tugasnya.

"Akhirnya dia dibawa ke Darussyifa' untuk menjalani rawatan secara pengubatan Islam," katanya.

Ditanya amalan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan disihir, Abdul Rashid berkata, bagi individu yang belum terkena sihir, mereka perlulah mendekatkan diri dengan Allah SWT seperti menjaga solat lima waktu, menjaga perkara halal dan menjauhkan perkara haram.

"Banyakkan amalan berzikir dan berdoa meminta perlindungan Allah SWT serta beristiqamah membaca ayat al-Quran setiap hari," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2021 @ 12:00pm
d