utama

Bakar tafsir al-Quran kerana kecewa kekasih berubah hati

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Motif seorang lelaki bukan Islam yang membakar senaskhah tafsir al-Quran di belakang tandas awam berhampiran Tabung Haji di Pekan Kuala Nerang, malam tadi, dipercayai akibat kecewa dan marah dengan kekasihnya yang berubah hati.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki Melayu pada jam 12.25 tengah malam tadi selepas melihat video melalui WhatsApp mengenai seseorang membakar al-Quran di belakang tandas.

Beliau berkata, berikutan itu pengadu bersama dua rakan ke lokasi kejadian namun mendapati tiada sesiapa di situ dan hanya menemui cebisan al-Quran yang dibakar.

"Mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis dan satu kertas siasatan dibuka berhubung kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, lokasi kejadian tidak mempunyai kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan kawasan itu terbuka.

Beliau berkata, kejadian berlaku di depan rumah kedai suspek.

"Susulan itu, polis mengambil sisa cebisan tafsir al-Quran yang dibakar di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

"Lelaki berusia 36 tahun itu kemudian ditahan di Pekan Kuala Nerang dan polis merampas dua unit telefon bimbit, satu unit pemetik api dan sepasang selipar yang dipercayai digunakan ketika kejadian," katanya.

Kamarul Zaman berkata, siasatan mendapati motif suspek adalah disebabkan marah dan kecewa dengan kekasihnya seorang wanita Islam yang berubah hati.

Beliau berkata, naskhah tafsir al-Quran yang dibakar itu adalah hadiah pemberian wanita terbabit.

"Hasil soal siasat, suspek mendakwa dia tidak berbuat untuk menyentuh sensitiviti agama namun dia ditahan reman untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435/295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda bagi kesalahan Seksyen 435 Kanun Keseksaan manakala hukuman penjara dua tahun, denda dan kedua-duanya bagi kesalahan Seksyen 295 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pendakwaan.

Sehubungan itu polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang boleh memecah belahkan keamanan dan memudaratkan ketenteraman awam.

Disiarkan pada: June 15, 2021 @ 11:34am
d