utama

Pelatih kecergasan 90 tahun

Tokyo: Pada usia 90 tahun, ramai yang sudah tidak mampu berjalan dan melakukan aktiviti senaman.

Namun, berbeza dengan Takishima Mika yang bukan saja melakukan aktiviti kecergasan, malah menjadi pelatih kecergasan pada usia emas itu, lapor Oddity Central.

Pesara yang berusia mesra dengan panggilan Takimika menyambut ulang tahun ke-90 pada 15 Januari lalu.

Meskipun usianya sudah menghampiri satu abad, dia lebih aktif daripada kebanyakan remaja berusia 20 tahun dan mungkin juga lebih sihat.

Dia kini pelatih kecergasan tertua di Jepun dan menjadi selebriti di negaranya kerana mempunyai tubuh yang sihat.

Sebenarnya, transformasi hidupnya bermula ketika dia sudah berusia 60-an.

Pernah satu ketika, dia menganggap dirinya agak montok dan tidak minat untuk melakukan apa juga bentuk senaman.

Tetapi komen suami mengenai berat badannya ketika dia berusia 65 tahun, mengubah segala-galanya.

"Waktu itu, saya sangat gemuk, ukuran seluar saya adalah dua kali dari sekarang.

"Namun, saya enggan mengakui bahawa berat badan saya berlebihan. Tetapi, suatu hari, suami saya komen mengenai berat badan saya, dan ketika itulah saya memutuskan untuk ke gimnasium," katanya kepada Majalah Nippon.

Pada awalnya, dia mahu menetapkan sasaran untuk mengurangkan 15 kilogram daripada berat badannya, dalam tempoh lima tahun.

Tetapi, selepas mencapai matlamat itu, Takimika terus berlatih kerana minat kepada kecergasan selain menetapkan cabaran baharu untuk dirinya sendiri.

"Saya hanya cergas kerana ingin menurunkan berat badan. Namun, selepas melakukannya, saya rasa ingin memiliki bahagian bawah yang cantik seperti wanita Brazil.

"Selepas mencapainya, saya memutuskan bahawa saya mahu bahu lebar dan pinggang yang kecil.

"Perkara seterusnya yang saya tahu, saya mengajar kelas aerobik. Saya tidak pernah mengimpikan hidup saya seperti ini," katanya.

Percaya atau tidak, Takimika menjadi tenaga pengajar kecergasan pada usia 87 tahun, selepas dipaksa olehnya oleh jurulatihnya sendiri.

Disiarkan pada: June 16, 2021 @ 6:30am
d