utama

Peminat tunggu depan tv

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

MELIHAT pada pengalaman dan kebolehannya dalam bidang penyiaran, maka wajarlah Azaria Tagaya, 36, dianggap antara personaliti yang menjadi perhatian di stesen TV pilihan ramai TV3.

Gadis kacukan Melayu, Jepun dan Pakistan serta lulusan Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bermula dari bawah sebagai pekerja bebas dengan syarikat produksi dan stesen TV lain sebelum selesa menjadi kakitangan TV3.

"Saya pernah menjadi pelatih amali dan penolong penerbit di Astro Awani. Selain itu saya juga pernah mengacarakan Hello On Two di TV2 dan EC Inspirasi di HyppTV selama beberapa tahun.

"Malah saya juga pernah meminjamkan suara untuk animasi Perancis yang dialih bahasa kepada Bahasa Melayu dan Inggeris untuk Astro Ceria.

"Selepas sambung ijazah pada 2014, saya singgah di UiTM untuk ambil skrol ijazah. Kebetulan TV3 buat uji bakat terbuka pembaca berita di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, jadi saya pun cuba nasib," katanya.

Kelulusan akademik yang dimilikinya ternyata menarik perhatian pengurusan TV3 yang akhirnya menawarkan peluang kerjaya bersama mereka.

"Perasaan saya awalnya bercampur baur kerana sebelum itu bekerja secara bebas boleh pilih projek. Saya dapat buat macam-macam program seperti gaya hidup, makan-makan dan pelbagai lagi.

"Terfikir juga apabila masuk meja berita, bolehkah saya hanya tumpu pada baca berita dan buat kerja pejabat.

"Namun sekali lagi rezeki menyebelahi saya. Ada yang nampak potensi saya dan selepas beberapa tahun, saya ditawarkan sebagai hos Nasi Lemak Kopi O untuk beberapa ketika.

"Seterusnya saya ditugaskan mengacara program Kami Sayang Teacher. Rupanya tanggapan saya sebelum ini salah. Tak dinafikan saya juga semakin selesa di sini," katanya.

Azaria, 36, atau nama sebenarnya, Azaria Tagaya Norio Tagaya mengakui minatnya dalam bidang ini mungkin mengalir daripada bapanya, Mohd Nor Tagaya yang pernah terbabit sebagai penyunting filem dengan produksi Sabah Film Productions.

"Saya sebenarnya tak rancang nak kerja dengan TV3 dan jadi pembaca berita. Masa jadi pelatih amali saya buat macam-macam program dari hiburan sehinggalah kembara.

"Sejak di Awani lagi saya selalu buat skrip sendiri untuk segmen-segmen tertentu. Dari situ baru sedar saya ada minat dan kebolehan untuk baca berita.

"Di meja berita TV3 pula, saya satu-satunya berkebolehan menguasai dua bahasa iaitu Inggeris dan Melayu dengan baik," katanya.

Ini menjadi kelebihan buatnya yang diberikan kepercayaan membaca berita untuk Buletin Utama dan Nightline.

"Selepas bertahun-tahun tiada, saya adalah pembaca berita yang boleh baca berita untuk dua slot ini. Saya juga diberikan tugas mengendalikan Ringgit Sense dan Money Matters.

"Sekarang apabila babitkan program bahasa Inggeris memang saya yang dicari. Syukurlah orang nampak kelebihan saya yang boleh disumbangkan untuk TV3.

"Sebelum ini pun, saya ditugaskan di meja luar negara dan pernah ditugaskan ke Lubnan untuk tugasan pelarian Syria. Saya rasa puas apabila dapat cari bahan dan kemudian sampaikan sendiri kepada peminat," katanya.

Tidak rasa glamor

Walaupun sering menjadi perhatian peminat, Azaria tidak menganggap popularitinya setaraf artis tanah air.

"Taklah glamor mana pun. Namun tak dinafikan kadang-kadang saya tahu ada peminat setia yang tunggu kemunculan saya depan TV.

"Bila saya tiada, mereka akan hantar mesej di laman sosial tanya kenapa. Bila saya muncul mereka hantar mesej tengok berita kerana saya.

"Yang sengaja nak mengusik pun ada tapi saya hanya abaikan mesej mereka. Apapun saya menghargai mereka sebagai peminat saya," katanya.

Menurutnya, berbanding di dalam TV, penampilannya di luar juga berbeza kerana dia selesa mengenakan jeans dan kasut kanvas saja.

Disiarkan pada: June 16, 2021 @ 7:00am
d