utama

Israel serang Gaza, tindak balas belon api [METROTV]

Oleh AFP

Gaza: Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza pada awal Rabu dengan mendakwa ia tindak balas terhadap tindakan kumpulan Islam di wilayah itu menghantar belon api ke selatan Israel, kata sumber keselamatan dan saksi.

Menurut sumber Palestin, tentera udara Israel menyasarkan sekurang-kurangnya satu lokasi di timur bandar Gaza iaitu selatan Khan Younes.

Seorang wartawan foto AFP di Khan Younes melihat letupan itu.

Pasukan Pertahanan Israel mengatakan bahawa tindakan itu sebagai tindak balas terhadap 'belon api', dan tentera rejim itu menyerang markas tentera milik pejuang Hamas.

Serangan tentera Israel itu adalah yang pertama terhadap Gaza sejak kerajaan gabungan baharu mengambil alih pemerintahan selepas menggulingkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Belon api itu dikatakan oleh pasukan bomba tempatan menyebabkan sekitar 20 kebakaran di selatan Israel, selepas kerajaan baharu Israel memberi lampu hijau kepada nasionalis Yahudi untuk mengadakan perarakan kontroversi melalui Baitulmaqdis Timur.

Sebelum ini, perarakan itu yang dijadualkan berlangsung pada Khamis lalu, namun ditunda kepada Selasa, susulan bantahan polis Israel terhadap laluan terbabit serta amaran daripada pejuang Hamas.

Ia adalah serangan terbaharu rejim zionis di Semenanjung Gaza sejak Israel dan pejuang Hamas bersetuju untuk gencatan senjata pada 21 Mei susulan serangan 11 hari tentera Israel di wilayah berkenaan yang menyaksikan lebih 260 penduduk Palestin terbunuh.

Disiarkan pada: June 16, 2021 @ 8:43am
d