utama

Baiknya hati abang polis...

Oleh Redzuan Muharam

Kangar: "Melihat kucing tidak makan sahaja sudah buat saya gelisah dan sedih apatah lagi apabila ternampak bangkainya di tengah jalan raya," kata Konstabel Muhamad Syafiq Ismail.

Muhamad Syafiq, 26 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai videonya yang tular selepas dimuat naik di Facebook (Fb).

Video itu menunjukkan Muhamad Syafiq mengalihkan bangkai kucing di tengah jalan raya dengan rata-rata netizen memuji tindakannya.

Malah tidak cukup dengan itu, Muhamad Syafiq turut dilihat mengalihkan seekor lagi kucing yang turut berada di tepi jalan itu yang pada awalnya kelihatan berada berdekatan dengan bangkai kucing yang maut.

Bercerita lanjut, Muhamad Syafiq berkata, dia menemui bangkai kucing itu pada Khamis lalu ketika dalam perjalanan pulang ke berek polis selepas membeli barangan keperluan di Pasar Borong Perlis, di sini.

"Saya menunggang motosikal ketika itu dan tidak berseorangan kerana bersama dengan rakan.

"Dari jauh lagi saya sudah ternampak bangkai kucing di atas jalan raya jadi terus berhentikan motosikal di bahu jalan sebaik tiba berhampiran dengannya.

"Tanpa berlengah, saya terus mengambil bangkai kucing itu bagi mengalihkannya kerana melihat tiada pemandu kereta atau penunggang motosikal yang berhenti," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhamad Syafiq, dia kemudian terus membawa kucing itu pulang untuk menanam bangkainya.

Anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata, apa yang dilakukannya itu adalah kerana rasa kasihan dengan nasib kucing berkenaan.

"Pada malam itu, saya tergerak hati untuk minta bantuan rakan bagi merakam video ketika mengalihkan bangkai kucing berkenaan.

"Video itu asalnya hanya dimuat naik di Fb sahaja namun saya terkejut apabila ia menjadi tular di laman sosial.

"Bagaimanapun, saya bersyukur dan terharu apabila ramai yang memberi kata positif serta mendoakan. Ia kerana bukan mudah untuk dapat doa daripada orang ramai," katanya.

Bercerita lanjut, Muhamad Syafiq berkata sejak kecil lagi dia sukakan kucing dan gemar memanjakan haiwan berkenaan.

"Saya juga berpengalaman memelihara kucing terbiar dalam bilangan yang banyak.

"Perasaan sayang terhadap kucing itu amat kuat hingga saya tidak sanggup menyerahkannya kepada orang lain walaupun ada yang minta.

"Jadi, setiap kali mendengar kisah kucing terseksa, terbiar atau mati dilanggar kenderaan, saya jadi sedih mungkin kerana naluri yang sukakan haiwan itu," katanya yang berasal dari Pulau Pinang dan sudah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak lebih dua tahun lalu.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 11:58pm
d