utama

Enggan terlalu lasak

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BARANGKALI ramai masih ingat peristiwa sedih yang berlaku kepada pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad Sharifuddin yang mengalami keguguran pada awal November tahun lalu.

Elizad, 37, yang menjalani proses rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada 21 Oktober tahun lalu, ternyata hanya dapat merasai perasaan dan pengalaman sebagai wanita hamil buat seketika.

Bagaimanapun, dia bersangka baik terhadap ujian Allah kepadanya dan kembali menjalani proses IVF sekali lagi pada tahun ini.

"Tahun lalu saya keguguran. Namun, saya takkan berputus asa dengan apa yang berlaku. Saya selalu positif dan akan terus berdoa.

"Jadi, tahun ini harapnya datang semangat semula untuk terus mencuba. Tengok kawan-kawan seangkatan serta yang sebaya ramai dah jadi ibu, buat saya teruja.

"Saya risau lagi dua, tiga tahun usia nak masuk 40-an dan saya masih tiada

zuriat. Doakan saya," katanya yang bertemu jodoh dengan Shamsul Baharin Rahman pada 2015.

Menurutnya, kali ini dia akan lebih berhati-hati supaya peristiwa lalu tidak berulang kembali.

"Selepas buat IVF nanti, saya nak lebihkan berehat dan tak nak terlalu banyak bergerak. Malah, saya akan cuba kurangkan aktiviti lasak.

"Dulu, mungkin kerana saya banyak bergerak. Sekarang saya dah ada pengalaman, Insya-Allah saya ambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Berbicara juga mengenai aktiviti terkini, Elizad berkata, sama seperti orang lain, dia sekarang duduk rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

"Bagaimanapun, alhamdulillah kontrak saya sebagai penyampai radio Sinar FM disambung lagi untuk tahun ketiga.

"Alhamdullillah ini yang dikatakan rezeki. Saya amat gembira dengan berita ini.

"Saya berjanji akan terus tampil dengan persembahan terbaik untuk menghiburkan peminat dan penyokong saya," katanya.

Rindu kerja di lokasi penggambaran

Sebagai pelakon, Elizad mengakui tetap berminat untuk turun ke lokasi penggambaran.

Akuinya dia sudah mempunyai beberapa projek drama terbaharu yang kini menanti lampu hijau untuk penggambaran.

"Apa pun kena tunggu PKP selesai kerana projek saya banyak tertunda sama macam orang lain juga. Kena sabar dahulu.

"Alhamdullillah, walaupun berdepan pandemik Covid-19, satu perkara yang saya belajar iaitu dapat menghabiskan masa dengan keluarga.

"Kalau dahulunya sibuk, sekarang saya dapat luangkan banyak masa bersama keluarga. Masing-masing makin sangat menghargai dan ia adalah memori terindah," katanya.

Tidak terkecuali, dia juga banyak menghabiskan masa mencari ilmu agama dan motivasi diri menerusi YouTube.

"Saya tonton mana-mana ceramah dan kaunseling untuk perbaiki diri," katanya yang baru-baru ini tampil dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dan Kampong Pisang Musical Raya Istimewa di Astro First.

Disiarkan pada: June 22, 2021 @ 6:20am
d