utama

Teruji dihambat tekanan hidup

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 50 kes kesihatan mental dan 50 kes hilang pertimbangan untuk meneruskan hidup diterima beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan projek komuniti Food Bank sejak Februari lalu.

Keadaan itu semakin membimbangkan berikutan ramai yang berani berterus-terang hilang pertimbangan meneruskan hidup dengan berkongsi secara terbuka di media sosial kerana tidak tahan dengan tekanan yang dialami.

Pendedahan itu dibuat Social Community Programs Urban Society Malaysia (Scopurs) yang menerima banyak aduan pengadu selepas mereka dihimpit kesusahan hidup.

Jurucakap Scopurs Erni Zawawi berkata, hasil libat urus pihaknya mendapati kebanyakan mereka yang terkesan termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ini mengalami masalah terputus bekalan makanan, tiada sumber pendapatan, kehabisan wang simpanan, kehilangan pekerjaan, perceraian, masalah rumahtangga dan keluarga, keganasan rumah tangga dan penderaan.

Selain itu, katanya, peningkatan gangguan oleh along dan pemilik rumah, masalah kesihatan mental yang berterusan termasuk kemurungan, kebimbangan dan sebagainya tidak dapat diselesaikan mereka atas beberapa faktor.

"Antaranya ada yang tidak dapat bantuan disebabkan dikategorikan sebagai golongan M40 sedangkan mereka memang hidup susah.

"Ada yang tidak mendapat bantuan daripada pihak berwajib dan ada juga yang tidak ada saluran untuk meminta bantuan daripada pihak ketiga," katanya.

Menurutnya, dalam kebanyakan kes diterima, beberapa penerima bantuan daripada pihaknya mengalami tekanan melampau yang membawa mereka kepada tindakan drastik untuk mengatasi masalah seperti mengambil dadah atau alkohol secara berlebihan dan ada juga mengambil langkah lain seperti hendak terjun dari bangunan tinggi atau menggantung diri.

Erni berkata, ada juga yang terfikir untuk meminum racun, menikam diri sendiri serta ahli keluarga dan mengambil ubat secara berlebihan sebagai cara pengakhiran hidup.

"Ini mengejutkan kerana kita tidak sangka sampai begini keadaannya di luar sana.

"Ada yang nak buang anak dari balkoni, ada juga yang nak gugurkan kandungan kerana tidak ada jalan lain. Ini semua kerana keadaan luar jangka yang sedang berlaku sekarang ini," katanya.

Justeru, sebagai jalan segera bagi mengatasi masalah berkenaan, pihaknya mengaktifkan bantuan Kotak Infaq Rezeki, sebuah projek komuniti bank makanan, yang menyediakan bantuan makanan dalam bentuk barang dapur dan sokongan kesihatan mental secara percuma kepada komuniti miskin bandar dan terpinggir bagi kategori B40 dan M40 di sekitar Lembah Klang.

Disiarkan pada: June 22, 2021 @ 2:00pm
d