utama

Bintang TikTok dijel 10 tahun

Oleh Agensi

Kaherah: Seorang bintang TikTok ditahan di Mesir, dua hari lalu selepas dia dan seorang lagi influencer (pempengaruh media sosial) disabitkan dengan kesalahan melakukan pemerdagangan manusia.

BBC melaporkan Haneen Hossam, 20, memuat naik hantaran disertakan satu video pada hari Isnin menyatakan dia tidak bersalah dan tidak pernah menyakiti sesiapa.

Pada Ahad lalu mahkamah di Kaherah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun ke atasnya tanpa kehadiran wanita itu.

Seorang lagi tertuduh iaituinfluencer popular, Mawada al-Adham, 23, yang hadir pada prosiding berkenaan, dihukum penjara enam tahun.

Mereka dituduh mengeksploitasi gadis melalui aplikasi perkongsian video untuk mendapatkan wang.

Keputusan itu lima bulan selepas mahkamah lain menjatuhkan hukuman penjara ke atas Hossam dan Adham kerana 'melanggar nilai kekeluargaan' dengan video yang mereka muat naik di TikTok.

Aktivis hak asasi manusia mengatakan kedua-dua wanita itu sudah diadili sebagai sebahagian daripada tindakan keras pihak berkuasa Mesir yang menyasarkan penyokong media sosial wanita.

Hossam yang juga seorang penuntut Universiti Kaherah mempunyai hampir 900,000 pengikut di TikTok, ditahan pada April tahun lalu.

Ia selepas dia menyiarkan video mengajak pengikut perempuannya untuk menyertai platform perkongsian video lain, Likee dan memberitahu mereka boleh menjana wang dengan menyiarkan video di dalamnya.

Pendakwa kemudian menuduhnya dengan 'melanggar nilai dan prinsip keluarga.'

Adham yang pernah mempunyai tiga juta pengikut di TikTok dan mempunyai 1.4 juta pengikut di Instagram pula dituduh melakukan kesalahan sama pada bulan berikutnya selepas menyiarkan video tidak senonoh seperti didakwa pendakwa raya.

Video itu memaparkan dia menari ghairah mengikut irama lagu.

Pada Julai lalu, mahkamah turut mensabitkan Hossam dan Adham serta menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada mereka.

Mereka juga didenda 300,000 pound Mesir (RM80,000) setiap seorang.

Hukuman itu bagaimanapun dibatalkan selepas mahkamah menerima rayuan kedua-duanya pada Januari dan mereka dibebaskan pada bulan berikutnya.

Namun, kedua-duanya kemudian dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu pemerdagangan manusia.

Disiarkan pada: June 25, 2021 @ 6:30am
d