utama

Tiga beranak maut, SUV bertembung bas

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Tiga beranak maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 3.10 petang, mangsa Mohd Zuki Yusof, 44 , bersama isterinya, Nur Farraheeda Ali Khan, 41, maut serta-mereta di tempat kejadian, manakala anak mereka Nasyeen Umayrai, 10, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, kira-kira 6.20 petang.

Seorang lagi anak pasangan berkenaan, Damia Irdina, 13, parah dan kini menerima rawatan di Hospital Dungun.

Mohd Zuki adalah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ketengah Jaya 2, manakala isterinya pula Pembantu Tadbir di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Kejadian dipercayai berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bakti AMBS selepas membeli barangan dapur di Bandar Paka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar AMBS Zul Husni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 3.14 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba didapati kedua-dua anak mangsa sudah dikeluarkan orang ramai.

"Pamandu dan penumpang depan kenderaan itu tersepit di tempat duduk, dan pihak kami mengambil masa selama 15 minit sebelum berjaya mengeluarkannya.

"Kedua-dua pasangan itu disahkan meninggal dunia di lokasi, dan mayat mereka kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 7:08pm
d