utama

Purata dua kes bunuh diri setiap hari - Polis

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Purata dua kes bunuh diri setiap hari dilaporkan bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021 berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pada 2019 adalah sebanyak 609 kes diikuti sebanyak 631 kes bagi 2020.

"Bagi tempoh lima bulan pertama iaitu tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 468 kes bunuh diri direkodkan.

"Ini menyaksikan secara purata sebanyak dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dalam tahun 2019 sehingga Mei 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata, bagi tempoh itu juga seramai 1,427 wanita dan 281 lelaki dilaporkan membunuh diri.

"Seramai 872 orang yang membunuh diri adalah berumur 15 hingga 18 tahun manakala mangsa berusia 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang.

"Dalam perkembangan berkaitan, Johor mencatatkan kes bunuh diri yang tertinggi pada 2019 dan 2020 iaitu sebanyak 101 kes," katanya.

Menurutnya, pada tahun ini pula Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 117 kes.

"Siasatan polis turut mendapati tiga punca utama yang menyebabkan kejadian ini ialah mangsa menghadapi masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan.

"Cara atau kaedah membunuh diri yang kerap berlaku berdasarkan statistik PDRM adalah gantung diri sebanyak 75.1 peratus, terjun bangunan (13.6 peratus) dan minum racun (5.7 peratus)," katanya.

Katanya, semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini.

"Individu yang mengalami masalah kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, keluarga dan sebagainya haruslah diberi bantuan serta sokongan keluarga serta rakan terdekat.

"PDRM menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan seperti yang dinyatakan di atas supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan terdekat dan pihak yang menyediakan khidmat nasihat," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 12:32pm
d