utama

Trend kuku pintar

Oleh Agensi

Dubai: Sebuah salun kecantikan menawarkan perkhidmatan kuku mikrocip yang membolehkan kad perniagaan diletak pada kuku pelanggan.

Perkhidmatan itu ditawarkan dengan harga AS$70 (kira-kira RM293).

Sebelum ini, ada laporan mengenai kaedah memasukkan cip komunikasi medan dekat (NFC) di bawah kulit bagi membolehkan ia berinteraksi dengan peranti.

Namun, salun di bandar raya ini tampil dengan teknik tidak invensif untuk mendapat keputusan yang sama.

Berbanding menggunakan jarum untuk memasukkan cip, Lanour Beauty Lounge menggunakan cip pada atas kuku jari tangan, yang akan disapu lapisan khas untuk perlindungan.

Oddity Central melaporkan, salun itu mampu memasukkan data di dalam cip berkenaan termasuk maklumat akaun media sosial, laman web dan nombor telefon.

Menurut salun itu, mikrocip berkenaan menggunakan fungsi NFC, teknologi liputan tanpa wayar terhad untuk menjadikan telefon pintar, tablet, kad bayar dan peranti lain lebih bijak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nour Makarem mengakui penemuan cip kecil untuk diletakkan pada kuku adalah sesuatu yang mencabar.

Mereka kini dalam usaha untuk meningkatkan tahap keupayaan simpanan data dalam cip berkenaan.

Kini, jumlah data yang mampu disimpan dalam cip berkenaan adalah kecil.

Beliau berharap teknologi terbaharu ini akan menjadi pelopor kepada 'kuku pintar' yang boleh digunakan untuk membuat pembayaran bil.

"Kami akan memasukkan maklumat yang anda mahu seperti nama, nombor telefon, akaun media sosial dan laman web.

"Anda mungkin sering lupa membawa kad perniagaan bersama namun sudah pasti tidak akan 'lupa' membawa kuku," katanya dalam Instagram (IG).

Idea mencipta kuku pintar ini terhasil susulan pandemik yang memerlukan seseorang menjaga jarak fizikal dalam perkhidmatan kecantikan.

Kaedah terbaharu ini terus mendapat sambutan daripada orang ramai selepas ia diperkenalkan menerusi IG salun berkenaan.

Pelanggan dari luar negara juga menunjukkan minat untuk mendapatkan perkhidmatan trend terbaharu itu.

Disiarkan pada: July 14, 2021 @ 6:31am
d