utama

Remaja bermasalah 'dibuang' pulau

Oleh Agensi

Beijing: Seorang remaja bermasalah di China dihukum dengan 'dibuang' ke sebuah pulau tidak berpenghuni.

Daily Star melaporkan, nelayan melihat seorang gadis berusia 13 tahun yang mengakui ibu bapanya meninggalkannya di pulau terpencil itu.

Ia sehingga remaja itu dapat belajar mengenai kesusahan hidup.

Remaja itu dilihat berada satu kilometer dari Bandar Rushan iaitu di pantai Shandong.

Dia hanya dibekalkan air dan biskut oleh ibu bapanya.

Menurut media China, ibu bapa gadis itu mengambil tindakan dramatik itu dalam usaha mengubah sikap remaja itu yang suka memberontak.

The Sun melaporkan ia berlaku selepas remaja itu malas bersekolah dan hanya tidur di biliknya sepanjang hari.

Menurut China Press, gadis itu dan ahli keluarganya adalah pengunjung pertama di pulau itu, selepas bertahun-tahun ia tidak berpenghuni kerana ketiadaan elektrik atau sumber air.

Selepas dua hari, dia dilaporkan menemui nelayan yang belayar melalui pulau itu, yang kemudian bertindak menghubungi polis.

Ketika polis tiba di pantai, gadis itu berlari ke arah mereka sambil menangis dan mengatakan: "Saya benar-benar tidak tahan. Mereka memaksa saya untuk bertahan di sebuah pulau yang sepi.

"Saya hanya mempunyai air dan biskut. Saya tidak dapat menyalakan api. Tolong bawa saya ke darat."

Polis kemudian mengarahkan ibu bapanya untuk mengambil remaja berkenaan dan membawanya pulang ke Chengdu di wilayah Sichuan.

Walaupun pihak berkuasa terpaksa 'campur tangan', ayah gadis itu berpendapat tindakan itu sebagai satu kejayaan.

Dia mendakwa anak perempuannya kini lebih dewasa dan yakin berdepan orang ramai selepas insiden berkenaan.

Disiarkan pada: July 15, 2021 @ 6:30am
d