utama

Bilik hotel bayar ikut mampu [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bayar sekadar mampu (BSM) konsep diketengahkan program Rumah Prihatin@Grand Seasons dalam membantu musafir, pelajar, petugas barisan hadapan dan individu yang memerlukan tempat tinggal sementara.

Penyediaan kemudahan dikenali 'Bilik Penginapan Prihatin' (BPP) itu terletak di Hotel Grand Seasons yang menjadi lokasi penganjuran program Rumah Prihatin.

Pengarah Pentadbiran dan Program Rumah Prihatin@Grand Seasons, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir berkata, bilik penginapan sementara itu satu daripada enam komponen di bawah inisiatif program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), agensi di bawahnya dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Katanya, Rumah Prihatin@Grand Seasons juga hasil cetusan idea Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hasil perbincangan serta persetujuan pihak pengurusan hotel.

"Program ini ilham beliau (Tan Sri Annuar Musa) kerana prihatin dan keinginannya menyantuni rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang yang berdepan cabaran kesan pandemik Covid-19.

"Satu inisiatifnya BPP yang disediakan sebagai transit buat golongan yang memerlukan.

"Bilik penginapan ini berkonsepkan mampu bayar bermula dari RM30 sehari, tetapi hanya boleh menginap selama tiga hari saja," katanya ketika ditemui di Hotel Grand Seasons, di sini.

"Bagaimanapun, tempoh dibenarkan menginap tetap sama iaitu tiga hari sahaja.

"Setakat petang Sabtu, kita sudah menerima kemasukan 13 petugas barisan hadapan dan belum ramai menginap lagi di sini mungkin kerana operasi baru bermula Khamis lalu, tetapi kita mengalukan lagi kehadiran mereka yang memerlukan.

"Terdapat 300 bilik penginapan tersedia bagi golongan musafir, pekerja barisan hadapan atau mana-mana pihak yang memerlukan tempat penginapan sementara dengan 74 daripadanya sudah disiapkan oleh Pulse Grande Hotel (PGH) dengan bantuan sukarelawan Wilayah Prihatin atau Prihatin Volunteer (PriVo)," katanya.

Sementara itu, Ida Harlina berkata, lima inisiatif lain turut digerakkan sejak pelancaran Rumah Prihatin@Grand Seasons Khamis lalu.

Katanya, antaranya inisiatif Dapur Prihatin yang menyediakan pek makanan percuma untuk golongan fakir miskin, gelandangan, petugas barisan hadapan, sukarelawan, musafir dan mereka yang tidak berkemampuan.

"Selain itu, kita juga mengembangkan khidmat Food Bank iaitu sumbangan makanan kering kepada golongan rentan bandar yang memerlukan melalui MPP dan sumbangan daripada badan korporat, NGO dan lain-lain sangat dialu-alukan.

"Di sini kita juga menempatkan Pusat Gerakan Jejak Prihatin atau One Stop Centre untuk menerima sebarang makluman berkenaan golongan miskin bandar agar sukarelawan PriVo, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turun ke padang menyantuni kumpulan sasar supaya bantuan yang diperlukan dapat dikenal pasti dan dibantu sewajarnya.

"Satu lagi inisiatif adalah Khidmat Kesihatan Mental Prihatin iaitu khidmat kaunseling profesional pesakit luar outpatient kepada individu, keluarga atau kelompok yang memerlukan sokongan emosi.

"Tidak ketinggalan inisiatif Khidmat Vaksinasi Prihatin terbuka kepada warga emas 60 tahun ke atas, golongan kurang upaya, peniaga, penjaja dan gelandangan," katanya.

"Mereka yang memerlukan sokongan emosi secara perseorangan tidak perlu khuatir kerana kaunselor dan doktor bertauliah akan menjaga kerahsiaan mereka dan khidmat itu ditawarkan secara percuma demi kemaslahatan warga Wilayah Persekutuan," katanya.

Ida Harlina berkata, kira-kira 120 pegawai daripada KWP, YWP, PGH, syarikat korporat, sukarelawan PriVo serta NGO lain berganding bahu bertugas di Rumah Prihatin@Grand Seasons demi menjayakan hasrat yang sangat murni ini.

"Harapan kita adalah untuk memberi khidmat terbaik kepada yang memerlukan bantuan dan dapat menangani cabaran serta ujian yang timbul akibat penularan wabak Covid19 ini.

"Kiranya, inti pati program Rumah Prihatin@Grand Seasons sangatlah holistik dengan matlamatnya membantu pelbagai aspek tidak hanya fizikal dan meringankan beban kewangan tetapi juga mengutamakan emosi serta kesihatan mental orang ramai", katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2021 @ 7:02am
d