utama

Menangis terpilih mengerjakan haji

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Saya bersyukur dan menangis sebaik diberitahu nama saya terpilih dalam kalangan 60,000 jemaah haji kuota Arab Saudi untuk menunaikan rukun Islam kelima ini," kata Ahmad Najhan Hassim, 30.

Ahmad Najhan yang juga seorang jururawat wad pembedahan di Hospital Pakar King Faisal, Jeddah antara 263 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Malaysia yang dipilih menunaikan haji menggunakan kuota Arab Saudi.

Bagaimanapun, dia menganggap tuah itu kerana berkat menjaga arwah ibu bapanya sebelum dia memilih untuk berangkat ke Arab Saudi untuk bekerja.

"Sebaik nama saya terpilih, saya terus terbayang di fikiran wajah ibu dan bapa yang sudah meninggal dunia.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang beriman," katanya ketika dihubungi menerusi Facetime, hari ini.

Dia yang berasal dari Taman Seri Gombak, Selangor berkata, dia terpilih bukan atas tiket paramedik atau petugas kesihatan tetapi sememangnya sebagai jemaah haji untuk 2021.

"Syarat untuk jemaah haji dibuka kepada mereka yang berada di Arab Saudi iaitu bekerja dan bermastautin di sini.

"Saya difahamkan, lebih 500,000 permohonan diterima, hanya 60,000 dipilih dan daripada jumlah itu 263 adalah rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sini," katanya.

Menurutnya, dia mendaftarkan diri pada 13 Jun lalu dan dua minggu lalu menerima perkhabaran gembira dia dipilih menjadi tetamu Allah itu.

"Mungkin ini berkat dan jasa saya menjaga arwah ibu dan bapa yang meninggal dunia 2014 akibat sakit tua.

"Saya tidak boleh mengupah haji untuk mereka sebab saya sendiri kali pertama menunaikan ibadah ini," katanya yang masih bujang.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, dia pun tidak menyangka dalam usia 30 tahun dan cabaran menghadapi pandemik itu dia terpilih menunaikan rukun Islam itu.

"Sebenarnya saya sudah membuat permohonan sejak tahun lalu menggunakan kuota kakitangan hospital.

"Tetapi tahun lalu, hanya seorang saja dari hospital kami dapat panggilan ini.

"Saya percaya jika belum rezeki dan panggilan Allah belum tiba buat kita, kita mohon macam mana sekalipun pasti bukan rezeki kita," katanya.

Menurutnya, dia berpuas hati dan memuji pengurusan cekap Kementerian Haji Arab Saudi yang menguruskan jemaah dengan sangat lancar dan teratur.

"Alhamdulillah kita perlu akur dengan keadaan semasa, pengurusan yang sangat teratur dan khemah semua mempunyai penghawa dingin.

"Malah, saya menggunakan pakej 'semi VIP' berharga sekitar RM14,000 dan diharap semuanya dipermudahkan," katanya.

Menurut Ahmad Najhan yang sudah tiga tahun bekerja di Arab Saudi, syarat menunaikan haji kali ini perlu lengkap menerima dua dos vaksin jenis Pfizer atau Astrazeneca dan tidak perlu melakukan ujian calitan.

Disiarkan pada: July 20, 2021 @ 12:15am
d