utama

Jodohku suami orang

Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Redzuan Muharam

Rawang: Andai sebelum ini, dia seorang yang berpandangan sinis terhadap poligami dan lebih memilih perkahwinan monogami namun siapa sangka Haryani Isnin, 44, kini menjadi perunding poligami dan Naib Presiden Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (PPHM).

Haryani yang gagal dalam perkahwinan pertamanya yang dibina selama 12 tahun dan selepas tiga tahun menjanda akhirnya takdir menentukan dia menjadi isteri ketiga.

"Sebelum ini, saya tiada pengalaman poligami dan selepas menjadi isteri ketiga saya lebih terbuka. Saya juga pernah menjadi janda dan ketika itu memang kita memerlukan seorang lelaki baik serta berkualiti yang dapat membimbing kita menjadi wanita solehah.

"Saya datang dari keluarga yang tidak pernah berpoligami dan saya berterus terang sedang berkawan dengan suami orang, syukur keluarga memahami.

"Proses saya kenal lebih kurang tiga bulan saja dan terus berkahwin, semasa proses taaruf anak saya juga galakkan untuk saya berkahwin dengan suami sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Haryani yang menetap di Bandar Tasik Puteri di sini, turut berkongsi pengalamannya menyesuaikan diri hidup bermadu.

"Macam mana saya boleh sesuaikan diri sebab utama kami semua mempunyai matlamat yang sama iaitu mengejar cinta Allah SWT.

"Saya tak kejar cinta suami bila kita mencari cinta Allah dan daripada situ kita mudah untuk melengkapi apa saja kekurangan dan kelebihan semuanya," katanya yang turut mencari calon isteri keempat untuk suaminya.

Menurutnya, isteri lain turut menyokong mencarikan calon isteri keempat untuk suaminya dan kini mereka tinggal berdekatan di taman perumahan yang sama dengan setiap seorang daripada mereka disediakan satu rumah.

Melihat kepada kualiti dan sifat bertanggungjawab suami juga membuka hati Haryani mencarikan jodoh untuk suaminya.

"Pertama saya nampak suami saya ada kualiti yang mana tidak semestinya dari segi kewangan semata-mata kerana ramai juga ada duit, tetapi tidak berjaya berpoligami dengan baik.

"Di peringkat awal, suami memang datang dan berjumpa dengan saya berkongsi cabaran, kekurangan dan kelebihan dia, jadi saya perlu fikir sehabis-habisnya sebelum membuat keputusan berkahwin.

"Syukur, suami bijak menguruskan konflik dalam perkahwinan poligami ini, saya dan madu juga banyak melakukan proses tabayun, duduk berbincang dan bercerita. Oleh itu, kami ambil pendekatan maafkan, lupakan dan bina semula," katanya.

Hakikatnya, Haryani berkata, poligami bukan untuk semua orang kerana poligami adalah orang yang Allah pilih ujian takdirnya begitu.

"Ramai yang memandang serong terhadap poligami dan saya sendiri pernah dikecam apabila berkongsi mengenai kisah bermadu walhal niat saya untuk memberi pendidikan mengenai kebaikan poligami.

"Apa yang saya lihat sisi positif poligami ini sebenarnya ia bukan untuk lelaki, tetapi sebenarnya untuk wanita kerana seronok untuk lelaki sekejap sahaja, sebab poligami ada tanggungjawab dan amanah yang banyak.

"Bagi lelaki bebanan dan tanggungjawab mereka bertambah, tetapi sebaliknya untuk kita wanita.

"Masa kita lebih banyak dan komitmen berkurangan dan kita dapat menambah silaturahim," katanya yang bekerja sebagai pengurus jualan.

Haryani kini bukan sahaja bergerak aktif dalam PPHM, malah dia komited menganjurkan kelas coaching (bimbingan) untuk isteri kedua dan bakal isteri kedua menggunakan tiga modul khusus iaitu modul terapi hati, jodohku suami orang dan fasa-fasa dalam poligami.

Disiarkan pada: July 24, 2021 @ 6:45am
d