utama

Padam gambar 'panas'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BERADA di tengah-tengah situasi pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang dijangka setiap manusia.

Golongan anak seni juga tidak terlepas daripada melalui fasa yang penuh kesulitan lebih-lebih lagi apabila kerja-kerja seni kebanyakannya terpaksa ditangguhkan.

Pelakon, Scha Elinnea berkata, dia bersyukur kerana drama-drama lakonannya masih lagi ditayangkan walaupun ada beberapa tawaran kerja yang terpaksa ditangguh buat sementara waktu.

"Alhamdulillah, banyak drama lakonan saya yang ditayangkan dalam masa sekarang. Sepatutnya, ada penggambaran yang membabitkan saya, tapi terpaksa ditangguhkan.

"Setakat ini, sudah ada juga beberapa tawaran kerja yang sudah dimasukkan ke dalam jadual saya antaranya dua drama untuk TV3," katanya.

Menyedari akan usia kerjayanya yang masih lagi setahun jagung, Scha juga menjawab pertanyaan mengenai bayaran sesetengah artis yang dirasakan kurang bersesuaian dan ada antaranya dianggap keterlaluan.

"Bagi saya, harga bayaran biarlah mengikut kesesuaian. Kalau artis itu minta bayaran yang terlalu tinggi, lihat semula latar belakang kariernya dan berapa lama pengalamannya sebagai pelakon serta cerita apa yang pernah dilakonkannya.

"Janganlah kalau baru saja berlakon dalam satu drama, terus meletakkan harga yang terlalu tinggi dan tak masuk akal. Tak boleh begitu," katanya.

Cukup dikenali sebagai pelakon yang sering tampil dengan imej seksi, Scha kini nampaknya mula belajar untuk memperbaiki diri dan memilih untuk memadam gambar-gambar 'panas' di Instagram.

Menurutnya, banyak teguran yang diterimanya di platform media sosial berjaya menjentik hatinya dan ingin menjadi versi yang lebih baik untuk diri sendiri.

"Kita sebagai manusia boleh berubah. Mestilah ramai orang yang marah-marah di media sosial dan bercakap mengenai imej seksi saya.

"Selalunya, saya akan cakap, doakan yang baik-baik. Alhamdulillah, saya dah padam banyak gambar di Instagram.

"Teguran-teguran itu membimbing dan bila orang tegur dengan cara baik, kita pun lembut hati untuk berubah ke arah kebaikan," katanya.

Menurut pelakon berusia 22 tahun ini, dia juga sedang mendidik dirinya untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Saya cuba menjadi orang yang lebih baik. Saya cuba dan tergerak hati untuk melakukannya," katanya.

Menurutnya, situasi ketika ini banyak membuatkannya berfikir mengenai kesan daripada setiap tindakan.

"Saya menetap sendirian dan saya selalu berfikir mengenai apa yang boleh dan tak boleh dilakukan. Saya belajar untuk terima setiap teguran," katanya.

Terbaru, Scha kini membintangi drama bersiri SitikTok yang ditayangkan di TV3.

"Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Siti, gadis naif yang datang ke Kuala Lumpur dari kampung. Dia putus tunang dan nak besarkan kariernya sebagai 'influencer'.

"Watak Siti ini sangat menyeronokkan kerana ada beberapa watak yang saya rasa, kena dengan diri saya sendiri. Memang ada sedikit persamaan contohnya, saya jenis yang 'easy going'," katanya.

Harapannya, SitikTok ini akan berjaya mencuri tumpuan ramai penonton kerana kelainan yang dibawakan.

"Saya berharap agar drama ini akan 'meletup', kerana jalan ceritanya berbeza daripada drama-drama lain dan saya harap, penonton akan turut terhibur," katanya.

Selain Scha, SitikTok turut dibintangi Nadia Aqilah, Nelissa Nizam, Niezam Zaidi dan ramai lagi.

Disiarkan pada: July 30, 2021 @ 6:00am
d