utama

Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM100,000, pada 2018.

Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM 50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, masing-masing pada 16 dan 19 Jun 2018.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) Akta yang sama.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM 5 juta yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd 'Afif Ali.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan disekalikan dengan jaminan bagi dua pertuduhan yang diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.

Mahkamah juga membenarkan dua pertuduhan hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibaca bersama dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini, pada 10 September depan.

Pada 22 Julai lalu, Syed Saddiq yang juga Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Disiarkan pada: August 5, 2021 @ 11:14am
d