utama

Shuib 'cemburu' pemergian Siti Sarah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pemergian penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia hari ini amat dicemburui apabila terlalu ramai insan dikenali mahupun tidak dikenali menitipkan doa buatnya.

Suaminya yang juga pelakon dan pelawak popular, Shuib berkata, dia juga tertanya-tanya apakah kebaikan Allahyarham ketika hayatnya.

"Bertalu-talu saya mendapat mesej dan video dari seluruh pelusuk negara yang menganjurkan bacaan Yassin dan doa selamat buat arwah. Tidak kurang juga menghantar gambar memaklumkan soal hajat dilakukan. Malah, ada sebahagiannya daripada nombor telefon yang tidak saya kenali.

"Apakah kebaikan arwah isteri hingga semua orang mahu mendoakan keajaiban dan kesembuhan buatnya? Perkara ini membuatkan saya tertanya-tanya dalam diri sendiri.

"Terlalu ramai ambil tahu mengenai perkembangan arwah. Benar, saya 'cemburu' dengan pemergiannya," katanya.

Menurut Shuib, dia reda jika arwah dijemput Allah ketika berada dalam keadaan kritikal di hospital Jumaat lalu.

"Kami pernah bercakap soal kematian. Malah, arwah isteri pernah cakap kalau boleh mahu meninggal dunia pada hari Jumaat iaitu penghulu hari. Dia mahu mendapat 'husnul khatimah' dan lepas seksaan kubur.

"Jika ikutkan, saya reda seandainya Allah mencabut nyawanya ketika nazak dan paras bacaan oksigen menurun pada Jumaat lalu. Namun, Allah memberikan arwah sedikit masa lagi untuk hidup. Akhirnya, hari ini arwah pergi juga," katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2021 @ 1:24pm
d