utama

Parodi selamba Khaby Lame

Oleh Agensi

Milan: Karakternya yang bersahaja menerusi aksi parodi menjadikan seorang lelaki kini amat popular di TikTok

Mulai tahun lalu, Khaby Lame, atau nama sebenarnya Khabane Lame, 21, yang berasal dari Senegal, mula beraksi menerusi aplikasi itu selepas hilang pekerjaan.

Kini, dia mempunyai 100 juta pengikut dan diramalkan akan mengatasi Charli D'Amelio sebagai bintang TikTok kedua dengan jumlah pengikut paling ramai.

Namanya menjadi popular selepas membuat aksi komedi sebagai sindiran kepada gaya hidup moden serta lakonan di media sosial, lapor New York Times.

Media melaporkan, pandemik Covid-19 menyebabkan Khaby hilang pekerjaan, tetapi ia juga menjadikan dia seorang bintang TikTok.

Ia apabila Khaby menggunakan aplikasi itu untuk 'menyindir' trend hidup masa kini.

Dengan mukanya yang selamba dan gerak tangannya, dia menunjukkan kepada penonton mengenai cara lebih mudah untuk melakukan sesuatu perbuatan.

Ia tanpa mereka perlu bersusah payah menggunakan helah atau teknik yang tidak masuk akal.

"Wajah saya dan ekspresi saya yang membuat orang ketawa," katanya.

Sebelum ini, dia bekerja di sebuah kilang di bandar utara Chivasso di Itali.

Ketika pandemik melanda, dia kehilangan pekerjaannya dan mula menghabiskan masa berjam-jam di TikTok, walaupun ayahnya meminta supaya dia mencari kerja lain.

Khaby terus mengejar tanda suka (like) dan pengikut dan kini, dia mempunyai 100 juta pengikut dan 1.5 bilion tanda suka.

Itu bermakna individu ini bernilai tinggi, lapor LadBible.

Awal tahun ini, Celebs Life Reel melaporkan Khaby bernilai antara AS$1 hingga AS$2 juta (kira-kira RM4.2 juta hingga RM8.4 juta).

Nilai itu dijangka akan bertambah berdasarkan jumlah pengikutnya.

Laman web berkenaan menilainya dengan melihat 15 hantaran (post) dan mendapati bahawa purata kadar keterlibatan (enggagement rate) daripada pengikutnya adalah 0.1 peratus.

Ini bermakna jumlah yang akan dia peroleh daripada tajaan TikTok bagi setiap hantaran adalah antara 9,636 Pound Sterling hingga 16,061 Pound Sterling (kira-kira RM56,418 hingga RM94,021).

Disiarkan pada: August 11, 2021 @ 6:30am
d