utama

Kes anggota TUDM ditembak: Koperal Sharif pesan jangan tinggal solat

Oleh Norsyazwani Nasri

Kota Samarahan: "Jangan lupa solat, ingat Allah setiap masa kerana kita tidak tahu bila masa akan pergi," demikian pesanan terakhir Koperal Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29, kepada adiknya Sharif Mohd Saddam, 27, sebelum turun bertugas di kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan pagi tadi.

Sharif Mohd Saddam berkata, abangnya itu juga berhasrat untuk pergi memancing bersama dalam masa terdekat.

"Dia cukup teruja turun memancing kerana baru membeli joran baru. Kami sekeluarga tidak menyangka abang pergi sekelip mata," katanya yang ditemui di perkarangan Unit Kecemasan Pusat Jantung Umum Sarawak, Kota Samarahan hari ini.

Katanya, arwah berkhidmat dengan TUDM selama kira-kira 12 tahun dan sebelum ini bertugas di TUDM Kepala Batas, Pulau Pinang sebelum berpindah ke TUDM Kota Samarahan kira-kira dua tahun lalu.

"Isterinya baru habis berpantang selepas melahirkan anak ketiga dua bulan lalu.

"Arwah adalah anak kedua daripada tujuh adik beradik meninggalkan seorang isteri dan tiga anak," katanya.

Sementara itu, rakan setugasnya, Koperal Mohd Nadzmir Mohideen, 28, menyifatkan Sharif mempunyai nilai persahabatan yang cukup tinggi dalam diri.

"Dia adalah sahabat sejati yang senang didampingi serta punya ramai kawan kerana sikapnya yang peramah, malah mudah membantu rakan yang lain.

"Saya cukup terkejut sebaik menerima berita kematiannya yang cukup tragis pagi ini," katanya yang mengenali arwah ketika sama-sama mengikuti kursus TUDM di Perak dan mula rapat ketika berpindah di TUDM Kota Samarahan.

Katanya, ketika bertugas arwah seorang yang cukup berani dan mempunyai disiplin yang tinggi.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM itu, empat anggota TUDM maut dalam kejadian tembakan.

Difahamkan kejadian itu berlaku ketika serah tugas apabila salah seorang anggota menembak tiga rakannya sebelum bertindak menembak diri sendiri.

Dua yang ditembak maut serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan meninggal ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan jam 9.15 pagi.

Berita berkaitan

Polis dedah identiti anggota TUDM maut dalam kes tembakan

Ahli keluarga anggota TUDM maut ditembak dibawa ke HUS

'Nak hidup atau mati!'

Kes tembak: TUDM tubuh Lembaga Penyiasatan

Anggota TUDM tembak tiga rakan sebelum menembak diri sendiri

Disiarkan pada: August 13, 2021 @ 3:24pm
d