utama

Tandas lutsinar tersembunyi

Oleh Agensi

Tokyo: Jepun tidak asing dengan kemudahan tandas luar biasa lengkap dengan ciri canggih.

Portal soranews24, melaporkan di sebalik kemajuan itu tersembunyi satu tandas unik dan boleh dikatakan tandas berkonsepkan terbuka terbesar di dunia dekat daerah Chiba.

Terletak bersebelahan landasan kereta api Kominato di Stesen Itabu, kawasan itu dikelilingi kehijauan dengan pemandangan mendamaikan.

Kereta api yang melintasi stesen berkenaan adalah jenis gerabak tunggal dan berhenti di situ sekali atau dua kali sehari, antara jam 6 pagi hingga 8 malam.

Perjalanan seminit berjalan kaki dari stesen membawa anda ke ruang berdinding kayu yang menempatkan tandas dilengkapi dengan cermin lut sinar.

Pintunya kelihatan seperti laluan masuk ke premis persendirian yang terkunci, tetapi ia mudah dibuka dan di dalamnya, ada papan tanda menunjukkan ruang itu khusus untuk wanita.

Bagaimanapun, lelaki juga boleh menggunakan tandas unik di bahagian dalam dengan syarat tiada siapa di dalamnya ketika itu.

Laluan masuk ke tandas itu membolehkan pengguna melihat keindahan alam semula jadi kerana kawasan dikelilingi bunga dan rumput hijau.

Difahamkan, konsep tandas itu diilhamkan Sou Fujimoto iaitu seorang arkitek sebagai cara untuk mencabar dirinya dalam mewujudkan ruang awam dan persendirian.

Disiarkan pada: August 21, 2021 @ 6:40am
d