utama

'Bilik forensik bak rumah kami'

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: "Pasukan kami pernah uruskan 93 jenazah pesakit Covid-19 dalam sehari ketika kes mencanak naik pada Julai lalu.

"Kini kami lega jumlah itu berkurangan kepada hanya 25 sehari," kata Ruzeeta Saad, 47.

Ruzeeta berkongsi pengalaman ketika bertugas dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Khas Covid-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak Mac tahun lalu.

Menurut Ruzeeta, ketika diberi tanggungjawab menggalas tugas itu, pasukannya bagai tidak menang tangan menguruskan jenazah pesakit Covid-19 setiap hari.

"Bilik forensik hospital dah macam rumah kami adakalanya sampai jam 3 pagi masih di lapangan kerana jenazah pesakit Covid-19 tidak boleh simpan lama.

"Malah, tiada istilah cuti bagi kami. Saya sendiri cuti pun tak ingat bila kerana rutin kami memang sibuk dan sentiasa dalam mod siap sedia menunggu panggilan daripada pihak hospital," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) diperluaskan, jumlah jenazah dirujuk kepada pasukannya mula menunjukkan trend penurunan sejak dua minggu lalu.

"Memang nampak keberkesanan program vaksin apabila kami di lapangan menyedari jumlah jenazah diurus semakin berkurangan dan tidak kelam kabut lagi macam dulu.

"Kami tetap siap sedia dan sentiasa amalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak risiko jangkitan.

"Apapun paling penting walaupun sudah divaksin, SOP jangan diabaikan perlu sentiasa menjadi budaya kita," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, sejak Pasukan Pengurusan Jenazah Khas Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jawi ditubuhkan Mac tahun lalu, mereka mengendalikan 3,344 jenazah pesakit yang maut akibat Covid-19.

"Secara perbandingan, purata bilangan jenazah Covid-19 harian diurus pasukan itu bermula 11 Ogos lalu menunjukkan penurunan iaitu 35 jenazah berbanding 65 jenazah pada hari sebelumnya.

"Jumlah jenazah harian terus menunjukkan trend penurunan kepada 22 jenazah pada Isnin lalu," katanya.

Menurut beliau, perkembangan positif itu memberi kelegaan namun pasukan terbabit sentiasa bersiap sedia melaksanakan tugasan berdasarkan SOP ditetapkan sejak ditubuhkan lebih setahun lalu.

Pengurusan jenazah Covid-19 di Wilayah Persekutuan dikendalikan secara bersama antara Jawi dan Jakim serta Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Pasukan berkenaan terdiri daripada 120 petugas mewakili 91 lelaki dan 29 wanita.

Disiarkan pada: August 26, 2021 @ 6:50am
d