utama

Bonnie hadiah emas pertama di Paralimpik Tokyo [METROTV]

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin menghadiahkan khabar gembira apabila menjadi atlet pertama negara yang berjaya menyumbangkan emas di temasya Paralimpik Tokyo dalam acara powerlifting bagi kategori 72 kilogram (kg) hari ini.

Bonnie merangkul emas dengan angkatan terbaik 228 kg sekali gus memecahkan rekod temasya sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan ketika di Rio de Janeiro.

Turun selaku pemegang rekod dunia, Bonnie mendahului saingan sejak daripada angkatan pertama dengan dia bermula dengan angkatan 217, 225, 228 sebelum percubaan keempat untuk memecahkan rekod dunia miliknya pada angkatan 231kg gagal.

Perak milik atlet dari Mesir, Mahmoud Attia dengan angkatan 191 kg manakala gangsa dimenangi Micky Yule, Great Britain, 182 kg.Atlet berusia 22 itu sebelum ini meraih emas di Piala Dunia Para Powerlifting Fazza Ke-11 di Dubai dalam kategori senior lelaki berat melebihi 72 kg.

Dia memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230kg yang sebelumnya dipegang Roohallah Rostami dari Iran dengan angkatan 229kg semasa di Para Asia Jakarta 2018.

Disiarkan pada: August 28, 2021 @ 11:35am
d