utama

40 tahun 'tidur sambil terjaga'

Oleh Agensi

Beijing: Seorang wanita di China mengaku tidak pernah tidur selama 40 tahun.

Oddity Central melaporkan wanita itu mendakwa dia tidak pernah merasa mengantuk selama empat dekad.

Pengakuan wanita itu, Li Zhanying dari Zhongmou, Wilayah Henan disahkan suami dan jiran tetangganya.

Li mengaku kali terakhir dia tidur ketika berusia lima atau enam tahun.

Beberapa tahun lalu, beberapa jirannya cuba menguji dakwaan wanita itu dengan bermain kad di bawah lampu jalan berdekatan rumah mereka pada tengah malam.

Bagaimanapun, seorang demi seorang jirannya tidak tahan mengantuk dan pulang ke rumah, tetapi Li tetap berjaga.

Suami Li, Liu Suoquin juga mengesahkan isterinya tidak pernah tidur sepanjang pernikahan mereka.

Sejak kedua-duanya berkahwin, Liu memerhatikan isterinya berjaga siang dan malam, malah melakukan pekerjaan rumah pada tengah malam.

Wanita itu memberitahu Liu, dia tidak boleh tidur sebelum lelaki itu membelikan isterinya pil tidur namun ia tetap tidak berhasil.

Menurut Bastille Post, Li mencari bantuan perubatan mengenai keadaannya, tetapi doktor tidak pernah menemui sesuatu mencurigakan.

Akhirnya, Li mengunjungi pusat perubatan di Beijing, misteri tidak tidurnya yang berlaku puluhan tahun akhirnya terbongkar.

Kumpulan doktor menggunakan alat pengesan canggih untuk memantau wanita itu selama 48 jam dan menemui dia sebenarnya tidur namun tidak seperti kebanyakan orang.

Data yang dikumpulkan selama pemantauan gelombang otak selama 48 jam menunjukkan Li sempat tidur seperti orang biasa.

Menurut pasukan itu, Li sebenarnya tertidur walaupun matanya tidak tertutup, malah boleh berbual dengan suaminya.

Pasukan doktor menggambarkan fenomena itu dikenali sebagai 'tidur sambil terjaga' di mana beberapa saraf dan organ Li Zhanying masih aktif selama dia tertidur.

Oddity Central melaporkan, keadaan itu sama dengan sleepwalking atau tidur sambil berjalan.

Pasukan doktor itu mengatakan Li sebenarnya tertipu oleh otaknya sendiri.

Ketika dia berehat, sebahagian tubuhnya memasuki fasa tidur dialami semua manusia tanpa menutup matanya.

Disiarkan pada: September 6, 2021 @ 6:30am
d