utama

Aura keramat Stadium Merdeka

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Setiap kali turun ke padang, penyokong pelbagai kaum datang dan Stadium Merdeka cukup gamat dengan sorakan penyokong hingga menaikkan bulu roma pemain dan pihak lawan.

Demikian aura pertandingan bola sepak tertua di Asia iaitu Pestabola Merdeka yang dikongsikan legenda Harimau Malaya, Datuk Jamal Nasir. Beliau mengakui kejohanan itu bukan sekadar mencari pemenang, tetapi juga simbol perpaduan buat semua kaum di negara ini.

Malah, katanya, pertandingan itu juga dianggap antara saingan paling ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat sukan di rantau ini setiap kali hadirnya Ogos.

Mengimbau sejarah penganjuran Pestabola Merdeka, ia dimulakan pada 31 Ogos 1957 dan dilancarkan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman sempena Hari Kemerdekaan negara.

Sejak tarikh itu, kejohanan diadakan saban tahun hingga 1988. Menurut Jamal, beliau masih ingat betapa saingan itu sentiasa menjadi pentas paling dinanti apabila ia menghimpunkan beberapa pasukan terkuat Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan Iran.

Sambutannya cukup hangat dan setiap kali perlawanan ruang tempat duduk sentiasa penuh sepanjang pertandingan apatah lagi apabila membabitkan pasukan Malaysia.

Ujarnya, ketika itu semua kaum dalam negara termasuk Melayu, Cina, India dan lainnya bersatu hati untuk memberi sokongan hingga secara tidak langsung menaikkan semangat dan motivasi pemain ketika itu.

"Pestabola Merdeka memang dianjurkan bagi memperingati tarikh atau Bulan Kemerdekaan kita yang jatuh pada Ogos atau lebih tepat 31 Ogos. Apabila kejohanan hendak diadakan, semua orang tahu ia bulan lapan atau bulan kemerdekaan Malaysia.

"Sambutan penyokong jangan cakaplah, tiga kaum terbesar (Melayu, Cina dan India) memang bersatu hati dan bangga menyokong pasukan kita, malah kami sendiri dalam pasukan negara pun memang diwakili tiga kaum ini.

"Kalau nak tahu, bulu roma saya dan kawan apabila hendak beraksi saja memang naik sepanjang perlawanan dan itu membuatkan kami bersungguh-sungguh cari kemenangan demi penyokong kita.

"Pihak lawan macam mati kutu. Mereka tak boleh main macam biasa mungkin sebab tekanan sorakan penyokong yang beri aura luar biasa hingga pasukan lawan tak boleh bermain," katanya kepada Harian Metro.

Malaysia menjulang trofi kemenangan 10 kali sejak 1958, muncul naib juara tujuh kali dan berkongsi juara dua kali dengan Korea Selatan pada (1960 dan 1979) manakala Korea Selatan memenangi tujuh kali.

Indonesia, Taiwan dan Myanmar juga pernah memenangi kejuaraan. Kemeriahan kejohanan itu terhenti selepas 1988 apabila banyak pasukan Asia memberi lebih tumpuan kepada Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Keunggulan Pestabola Merdeka tenggelam apabila hanya sembilan kejohanan sahaja diadakan hingga 2013 yang menyaksikan skuad bawah 23 tahun negara memenanginya.

"Saya berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat menganjurkannya semula dengan menjadikan saingan itu sebagai pentas pendedahan buat pemain muda negara," katanya yang pernah memenangi trofi Pestabola Merdeka pada 1979.

Disiarkan pada: September 6, 2021 @ 7:01am
d