utama

Nadhir tak hentam kromo

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS dua tahun pembabitannya sebagai pelakon membawa Nadhir Nasar meneroka satu proses dalam memacu kariernya sebagai anak seni.

Walaupun kini namanya mula dihambat populariti selepas membintangi beberapa drama, pelakon dengan nama sebenar Ahmad Nadhir Ahmad Nasar ini mengakui banyak lagi ilmu dan selok-belok dunia lakonan yang perlu ditimbanya.

Berkesempatan menemu bual pelakon berusia 25 tahun itu, dia berkongsi kisah perjalanan seni dan apa yang ingin digapai dalam kariernya ini.

"Ini adalah proses bagaimana saya meletakkan perjalanan karier seni saya. Saya tak bagus, tapi bagaimana saya meletakkan dan melihat proses itu.

"Ada juga tawaran untuk saya berlakon sebagai hero atau watak utama. Namun, saya terpaksa tolak kerana saya rasa banyak lagi yang perlu saya pelajari.

"Berlakon sebagai watak utama bukan sekadar berlakon, tetapi ada cara pembawakan yang perlu saya terokai. Namun, semua itu berbalik kepada individu, bagaimana masing-masing merancang," katanya.

Berkongsi mengenai rasa cintanya kepada kerjaya ini, Nadhir yang juga juara program Hero Remaja 2020 tidak hanya melunaskan tugasnya sebagai pelakon hanya untuk wang semata-mata.

"Apa juga tawaran yang saya terima, ia bergantung kepada skrip. Saya bukan ambil tawaran semata-mata untuk wang saja, tapi saya nak berikan yang terbaik.

"Saya nak berada dalam industri seni tanah air untuk jangka panjang. Kadang-kadang kalau terlalu cepat naik, akan cepat turun juga," katanya.

Tatkala dia mula mencipta nama, dunia dan industri hiburan diduga dengan kehadiran pandemik Covid-19. Sedikit sebanyak itu juga memberi kesan kepada nilai kreativitinya sebagai pelakon.

"Antara kesan yang paling saya rasakan adalah bagaimana untuk mengekalkan momentum nama saya. Untuk menjadi popular itu bukan mudah, tetapi apabila sudah menempa nama, untuk kekalkan populariti adalah lebih sukar," katanya.

Nadhir berkata, dia terus mewujudkan interaksi dengan peminat dan menggunakan kelebihan teknologi sebaik mungkin.

"Di media sosial, saya perlu kekal wujudkan 'engagement' kerana itu penting. Namun, saya sentiasa beringat bahawa sebagai pelakon, kita tak boleh berikan semua yang kita ada.

"Seperti pelakon senior, Faizal Hussein jelaskan, biar ada nilai eksklusif dalam diri seseorang pelakon dan perlu bijak mengatur strategi 'permainan' dalam arena industri seni ini," katanya.

Pada masa sama, Nadhir turut menyentuh mengenai kepentingan kesihatan mental buat setiap individu dalam menempuh situasi penuh dugaan seperti sekarang.

"Untuk pelakon atau orang yang bekerja dalam dunia kreatif, kesan lebih mendalam akibat pandemik ini adalah lebih kepada kesihatan mental dan minda.

"Kita bukan orang yang jenis duduk di rumah kerana sentiasa ada interaksi dengan ramai orang. Dari situ, kita berkongsi pandangan, pendapat dan cerita. Apabila banyak aktiviti yang sering dilakukan tidak dapat dilakukan seperti biasa, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada minda dan pemikiran kreatif seseorang anak seni," katanya.

Terbaharu, Nadhir kini membintangi drama bersiri berjudul I-Tanggang yang mengisahkan mengenai kisah kekeluargaan arahan tiga pengarah iaitu Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak.

"Dalam drama ini, saya memegang peranan sebagai Syafiq. Ini adalah projek kedua saya bersama Astro Originals selepas Projek: Anchor SPM sebelum ini. Apabila ditawarkan, saya akui jalan ceritanya lain daripada lain dan menarik.

"Namun, pada masa sama, ada rasa ragu-ragu sama ada saya akan mampu menjayakan watak yang diberikan atau tidak memandangkan saya masih baharu dan watak itu juga agak berat.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Pengarah banyak membantu dan proses pembikinan drama ini selama dua bulan adalah satu tempoh yang menyeronokkan," katanya.

Berkongsi mengenai watak Syafiq, Nadhir menjelaskan bahawa dia menjadikan rakan-rakan dan persekitarannya sebagai rujukan utama.

"Syafiq adalah anak sulung dalam keluarga yang hidup dalam kesempitan. Dalam usia 16 tahun, dia terpaksa berhenti sekolah dan bekerja untuk membantu menampung keluarganya.

"Watak Syafiq ini saya gambarkan sebagai remaja yang susah, tetapi masih memiliki harapan dalam dirinya untuk mengubah nasib keluarga.

"Saya membesar di kawasan Taman Medan dan Taman Datuk Harun di Petaling Jaya. Di situ memang banyak keluarga yang berdepan situasi sebegini. Ada sahabat saya sendiri juga pernah melalui situasi sama seperti watak Syafiq," katanya.

Selain Nadhir, drama I-Tanggang turut dibintangi Sherie Merlis, Faizal Hussein, Danish Hazriq, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Datin Sofea Jane, Zarina Zainuddin, Andy Teh, Rashidi Ishak, Rashid Salleh dan ramai lagi.

Disiarkan pada: September 10, 2021 @ 6:00am
d