utama

Bagaimana Sajat lolos ke Bangkok

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Memakai purdah dan niqab menjadi taktik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa selepas usaha memburunya dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dengan mengenakan pakaian sedemikian selain dibantu seorang lelaki, Nur Sajat melarikan diri dari rumahnya di Petaling Jaya, dekat sini, ke kawasan sempadan sebelum lolos ke Thailand.

Skuad Khas Harian Metro menjejaki semula laluan digunakan Nur Sajat yang dipandu arah lelaki terbabit yang dilaporkan menerima upah sebanyak RM20,000.

Sumber memaklumkan, selepas gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam, waran tangkap terhadap usahawan kosmetik itu dikeluarkan mahkamah.

"Nur Sajat yang ketika itu sedang bersembunyi di Lembah Klang mula mencari jalan untuk keluar ke negara ini. Dia kemudiannya diperkenalkan kepada seorang lelaki yang mahir dengan selok-belok di kawasan sempadan sebelum bersetuju membayar RM20,000 sehingga selamat tiba di Bangkok.

"Lelaki ini dipercayai mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand. Siasatan lanjut sedang dilakukan," katanya.

Mengulas lanjut, dengan bantuan lelaki itu, Nur Sajat dibawa menaiki sebuah kenderaan dari Lembah Klang ke Lebuhraya Utara Selatan (Plus) sebelum dibawa ke Padang Besar, Perlis.

"Sebaik tiba di Padang Besar, Nur Sajat dimasukkan ke gerabak kereta api barang sebelum lolos ke Padang Besar, Thailand bersama lelaki terbabit.

"Lelaki sama kemudiannya membawa Nur Sajat ke Hat Yai, Thailand. Dia (Nur Sajat) kemudiannya diserahkan kepada seorang lelaki yang membawanya hinggalah ke Bangkok, Thailand," katanya.

Ditanya bagaimana Nur Sajat dan lelaki terbabit boleh melepasi sekatan jalan raya hingga ke utara tanah air, sumber itu memaklumkan, usahawan kosmetik itu lolos ke Thailand pada Mac lalu.

"Kita percaya Nur Sajat dan lelaki terbabit lolos ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Ketika ini kelonggaran diberikan untuk melakukan rentas daerah dan negeri. "Pihak berkuasa yakin dia lolos sebelum 18 Mac ketika PKPP kerana selepas itu (18 Mac) PKP kembali dikuatkuasakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, sumber itu memaklumkan, siasatan mengenai Nur Sajat berjaya lolos walaupun gambarnya sudah diedarkan ke pasukan keselamatan yang menjaga sempadan negara sudah diperhalusi pihak berkuasa.

"Saya tidak mahu ulas bagaimana dia boleh lolos di Padang Besar, Perlis ke Thailand walaupun ketika itu kita sudah edar gambar dia.

"Tetapi yang pasti, taktik dia adalah memakai purdah dan niqab hinggalah dia berjaya lolos ke sana dengan bantuan lelaki terbabit," katanya.

Ditanya adakah lelaki itu sudah dikenal pasti, sumber itu bagaimanapun enggan mengulasnya.

"Kita percaya individu ini mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand serta mahir selok-belok di kawasan sempadan negara terutamanya di Perlis," katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 8:30am
d