utama

Shiha sebak rasa dihargai

Oleh Syafil Syazwan Jefri

NAMA figura Shiha Zikir tidak perlu lagi diperkenalkan memandangkan namanya cukup kukuh dalam pelbagai cabang seni.

Shiha yang memulakan langkahnya secara rasmi sejak penghujung 2010 bukan sahaja menempa nama dalam industri seni tanah air, bahkan juga turut dikenali di negara jiran, Indonesia.

Walaupun namanya boleh dianggap sebagai kukuh dan dihambat populariti, namun, artis serba boleh dengan nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir ini masih menganggap bahawa dirinya bukan sesiapa.

"Mungkin ada yang beranggapan bahawa saya sudah cukup dikenali dan menempa populariti di dalam industri. Saya tak tahu kenapa, sehingga kini, saya masih lagi merasakan bahawa saya bukanlah orang yang dikenali.

"Walaupun di platform media sosial, ramai peminat dan pengikut yang mengikuti perkembangan saya, namun saya rasa bahawa saya bukanlah artis yang popular jika dibandingkan dengan nama-nama besar lain," katanya.

Memulakan langkah menerusi beberapa program realiti seperti Akademi Fantasia dan Mentor, Shiha menganggap perjalanan kariernya memberi ruang untuknya menimba pelbagai ilmu.

"Perjalanan karier saya mungkin tidak sepantas orang lain. Ada orang yang tuahnya berbeza dan dengan satu single sahaja, namanya terus naik menjulang.

"Kalau bercakap mengenai saya, nak katakan lagu saya terlalu popular pun, tidak juga. Nak kata saya terlalu kerap muncul di kaca TV pun, tidaklah selalu.

"Namun, saya bersyukur kerana dalam tempoh perjalanan karier saya ini, banyak pihak kini mula membuka mata sekali gus berkongsi peluang serta memberi kepercayaan kepada saya," katanya.

Setiap kali berbicara mengenai peluang dan kepercayaan yang diterimanya, Shiha sentiasa akan rasa sebak dan beremosi.

"Setiap kali berfikir atau berbicara mengenai perkara ini, mesti saya akan rasa sebak. Saya rasa seperti dihargai apabila ada pihak yang sudi memberikan kepercayaan dan peluang kepada saya.

"Ada antara mereka adalah nama-nama besar tak kiralah individu atau organisasi. Namun, mereka tidak pernah memandang rendah kepada saya dan terus menerus memberikan kepercayaan.

"Bukan mudah untuk orang ingat kepada kita lebih-lebih lagi, untuk orang yang bukan sesiapa seperti saya," katanya.

Jadi penyampai radio

Kini, Shiha terus mengorak langkah dan meneroka pelbagai cabang seni dan terbaharu, dia bergelar penyampai radio sementara di stesen radio, Era.

"Di Era, saya bukanlah penyampai tetap sebaliknya hanya penyampai sementara untuk segmen Petang Era bersama Radin dan Danial.

"Alhamdulillah, di situ saya belajar satu lagi ilmu dalam bidang seni. Apa yang boleh saya katakan, tugas sebagai penyampai radio bukanlah semudah yang disangka.

"Saya pernah menjadi pengacara di kaca TV dan itu lebih mudah kerana ada visual yang memperlihatkan gerak tubuh dan ekspresi wajah kita. Di radio, pendengar hanya dapat mendengar suara.

"Jadi, satu cabaran besar buat saya adalah untuk menyampaikan mesej kepada pendengar tanpa sebarang visual," katanya.

Berkongsi mengenai karier muzik, Shiha kini baharu sahaja melancarkan single berjudul Irama.

"Irama dilancarkan secara rasmi pada 20 Ogos lalu dan sehingga kini, sambutan yang diberikan peminat sangat menggalakkan. Alhamdulillah, ia sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio tempatan dan juga di Indonesia," katanya.

Selain Irama, Shiha juga bakal muncul dalam drama bersiri terbaharu berjudul Perisik Cinta Tak Diundang bermula esok di slot Akasia TV3.

"Dalam drama ini, saya memegang peranan sebagai heroin dan bergandingan dengan penyanyi, Andi Bernadee.

"Pengalaman menjalani penggambaran drama ini sangat menyeronokkan kerana kali pertama saya berlakon di bawah pengarah Azmi Hatta," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2021 @ 6:25am
d