utama

Tertukar ibu lepas dilahirkan

Oleh Agensi

Rom: Biarpun tiada pertalian darah, dua gadis dari Itali yang tertukar secara tidak sengaja selepas dilahirkan akhirnya dibesarkan seperti adik-beradik.

The Sun melaporkan, Caterina Alagna dan Melissa Fodera yang kedua-duanya kini berusia 23 tahun dibesarkan keluarga yang salah selepas tertukar di hospital di bandar Sicilia Mazara del Vallo.

Kesilapan itu hanya disedari ibu kandung mereka ketika kedua-keduanya berusia tiga tahun, lapor Times.

Selepas ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan identiti sebenar, kedua-dua keluarga memutuskan untuk membesarkan Melissa dan Caterina seperti adik-beradik.

Mereka berkongsi kisah itu dalam sebuah dokumentari berdasarkan buku Sisters Forever.

Pengarang buku itu, Mauro Caporiccio berkata, dua gadis itu dibesarkan seperti adik-beradik oleh empat orang tua.

Kedua-dua gadis itu lahir selang 15 minit di hospital sama pada malam tahun baru 1998.

"Tiga tahun kemudian, ketika menjemput Melissa dari sekolah asuhan kanak-kanak, saya melihat ada persamaan antara Caterina dan dua anak perempuan saya yang lain.

"Saya mengenali ibu Caterina, Gisella Fodera dari wad bersalin dan berasa curiga. Selepas 15 hari, kami melakukan ujian DNA, " kata Marinella Alagna, 51.

Alagna berkata, pada mulanya, keadaan menjadi rumit bagi semua yang terbabit dan keluarga tidak bersetuju dengan idea menukar semula anak mereka.

"Hari ini mereka lebih seperti kembar dan ia 'mengikat' kedua-dua keluarga," katanya.

Gisella, 46, pula mencabar sesiapa sahaja untuk membesarkan anak perempuan selama tiga tahun kemudian perlu menyerahkannya kepada orang lain kerana kesilapan tidak disengajakan.

Bagaimanapun, mereka memutuskan untuk membesarkan kedua-duanya seperti sebahagian daripada keluarga masing-masing.

Melissa dan Caterina bukan hanya tinggal bersama pada hujung minggu dan mengisi masa lapang bersama-sama.

Mereka menjadi rakan sekelas sehingga sering dianggap kembar.

"Kami adalah fenomena. Kami mempunyai dua bapa dan dua ibu," kata Caterina.

Sementara itu, Melissa berkata, dia dan Caterina hanya diberitahu perkara sebenar ketika mereka berusia lapan tahun.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 6:30am
d