utama

Nur Sajat boleh diekstradisi

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Proses ekstradisi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman boleh berlaku kerana dia sudah melanggar perundangan yang sama di dua negara.

Sumber keselamatan berkata, Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat sudah melanggar akta imigresen di Malaysia kerana tidak mengikuti pintu keluar yang sah untuk ke Thailand.

"Nur Sajat juga masuk ke Thailand dengan tidak menggunakan pintu masuk yang sah negara berkenaan, jadi dia sudah melanggar dua perundangan sama di dua negara.

"Secara teknikalnya, proses serah balik atau ekstradisi ini boleh berlaku kerana kesalahan yang dilakukan Nur Sajat sudah melanggar dua perundangan sama untuk dua negara berbeza, ini antara kriteria utama dalam proses ekstradisi.

"Dia keluar dari Malaysia melalui jalan tikus, ia satu kesalahan imigresen Malaysia, masuk pula ke Thailand turut melalui lorong tikus, sekali gus bersalahan dengan peruntukan perundangan imigresen negara berkenaan," katanya.

Sementara itu, penganalisis perundangan, Mohd Zakry MS berkata, terdapat lima perkara untuk proses ekstradisi berlaku yang berkait dengan individu dikehendaki.

"Pertamanya, jenayah yang dilakukan cukup serius antaranya pemerdagangan manusia. Perkara kedua adalah individu disyaki sudah mempunyai kes prima facie daripada sudut perundangan di negara asalnya.

"Ketiga adalah kesalahan berlaku membabitkan undang-undang sama di negara terbabit dan dalam isu Nur Sajat, dia sudah melanggar peruntukan perundangan imigresen bagi Malaysia dan Thailand secara umum.

"Perkara keempat pula adalah individu berkenaan percaya akan berlaku keadilan di negara asalnya dan terakhir adalah hukuman setimpal jika dia pulang ke negara asalnya," katanya.

Mohd Zakry berkata, itu adalah lima perkara asas dalam tuntutan untuk ektradisi seseorang yang berada di negara luar.

"Bagaimanapun ia berlaku secara diplomasi dan memerlukan kedua-dua negara bersetuju untuk proses berkenaan serta perjanjian antara negara itu juga tidak mengikat mereka untuk menuruti setiap permintaan ektradisi.

"Ia masih tertakluk kepada proses diplomasi secara keseluruhannya dan saya lihat untuk kes Nur Sajat, ekstradisi itu boleh berlaku.

"Proses berkenaan membabitkan rundingan dengan Wisma Putra bersama Pejabat Peguam Negara untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada Thailand," katanya.s

Disiarkan pada: September 24, 2021 @ 1:00pm
d