utama

3 rakan maut, 2 parah kemalangan

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Tiga sahabat maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, di sini hari ini.

Dalam kejadian 2 pagi itu, mangsa maut termasuk R Vimalan, 21; A Sharven, 21; dan seorang lagi lelaki berusia 20-an yang belum dikenal pasti identiti.

Manakala mereka cedera dikenali sebagai S Meshen Kumar, 21, dan P Agilan, 22.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A Hamid berkata, kemalangan berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Taman Daya menuju ke Taman Setia Indah.

Beliau berkata, ketika sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh tembok kediaman di Taman Daya di sini.

"Tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi parah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Pasukan Keluar Operasi (PKO) menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan berkenaan.

"Semua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke HSA untuk bedah siasat," katanya menerusi kenyataan media, di sini hari ini.

Disiarkan pada: September 27, 2021 @ 12:41pm
d