utama

Angka menggusarkan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Bukan sedikit jumlahnya apabila sebanyak 347 kes kemalangan direkodkan polis membabitkan pekerja penghantar makanan e-hailing dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Mendedahkan perkara itu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, jumlah direkodkan itu membabitkan angka dikumpulkan dari Januari tahun lalu hingga Julai tahun ini di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 48 kes membabitkan kemalangan maut manakala yang lain membabitkan kecederaan ringan dan parah.

"Bagi tahun lalu sahaja, pemandu dan penunggang e-hailing merekodkan 17 kematian, parah (10) dan cedera ringan (64). Namun kes kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu dilihat meningkat pada tahun ini.

"Jika dilihat dari Januari hingga Julai lalu sahaja, sebanyak 31 kes kematian direkodkan membabitkan penunggang e-hailing manakala 26 mangsa cedera parah dan 199 cedera ringan," katanya kepada Harian Metro.

Dia berkata, mutakhir ini ramai penunggang motosikal terutama e-hailing didapati tidak mematuhi undang-undang dari segi pergerakan dan peraturan jalan raya.

"Antaranya mereka melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai topi keledar, berhenti di petak kuning dan tiada lesen memandu dan cukai jalan.

"Selain itu kesalahan lain dikesan adalah membabitkan ubah suai kenderaan dan kesalahan berkaitan teknikal seperti nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi," katanya.

Beliau berkata, mengikut kajian dan statistik JSPT, kesalahan yang sering dilakukan golongan terbabit adalah melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit dan tidak memakai topi keledar.

"Ini menjadi punca utama kemalangan membabitkan penunggang e-hailing yang terus meningkat dan menggusarkan polis.

"Bagaimanapun jumlah saman bagi kesalahan e-hailing tidak dapat dibekalkan secara spesifik memandangkan penguatkuasaan adalah secara menyeluruh ke atas semua penunggang motosikal," katanya,

Tambahnya, jumlah saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas kesalahan melanggar lampu isyarat berjumlah 47,393 saman sejak 1 Januari 2020 hingga Julai lalu.

Sehubungan itu, JSPT menasihatkan semua pemandu dan penunggang e-hailing supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi menjamin keselamatan di jalan raya demi kesejahteraan rakyat.

"Kerja mereka mencari rezeki halal dengan menjadi penghantar makanan terutama ketika pandemik Covid-19 ini memang mulia kerana memudahkan orang ramai mendapatkan makanan tanpa perlu keluar rumah.

"Namun apa gunanya membahayakan diri dengan melanggar undang-undang lalu lintas sehingga akhirnya mengancam nyawa mereka sendiri," katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2021 @ 12:00pm
d