utama

Botak lockdown

Oleh Agensi

London: Akibat tekanan kerana sekatan pergerakan (lockdown), seorang kanak-kanak perempuan di United Kingdom, hampir botak selepas mencabut rambutnya sendiri.

Amelia Mansie, 8, mula mencabut bulu matanya April lalu dipercayai akibat tekanan kerana tidak dapat keluar bermain dan berjumpa rakan-rakannya, lapor The Sun.

Ibunya, Jemma, berkata tidak lama kemudian anaknya itu mula mencabut rambutnya sendiri sehingga hampir botak.

Katanya, anaknya itu didiagnosis dengan trikotilomania.

Gangguan itu menyebabkan seseorang mempunyai dorongan kuat untuk mencabut rambut sendiri.

Kanak-kanak itu kini berdepan dengan rakan yang mengejeknya kerana keadaannya itu.

Sejak mencabut rambutnya sendiri, Amelia kini hanya memiliki beberapa helai rambut yang panjang di bahagian belakang kepalanya.

Dia tidak akan keluar dari rumah tanpa mengenakan bandana atau pun rambut palsu.

"Saya menyedari dia kehilangan bulu mata ketika menjalani sekatan pergerakan yang pertama.

"Pada mulanya saya tidak mahu terlalu memikirkannya, tetapi selepas itu dia tidak mempunyai bulu mata sama sekali.

"Ketika musim sejuk berakhir, keadaan menjadi lebih buruk dan saya lihat dia mula menarik rambut di kepalanya," kata ibunya.

Jemma berkata, sukar mencari rawatan untuk membantu Amelia dengan keadaan rambutnya yang begitu.

Amelia berjumpa dengan ahli terapi sekolah setiap minggu dan ibunya juga membayar hipnoterapi setiap minggu dalam usaha membantu anaknya itu.

Disiarkan pada: September 30, 2021 @ 6:30am
d