utama

Usah tangkap muat

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ISU jumlah pengikut selebriti di media sosial yang umpama 'modal' utama dalam melayakkan mereka ditawarkan peluang kerja atau 'job' bukan isu baharu. Ia menjadi bualan sejak sekian lama.

Namun, baru-baru ini ia dibangkitkan semula dan menjadi bualan banyak pihak terutama dalam bidang lakonan.

Sejak beberapa minggu lalu, ada beberapa kenyataan daripada stesen TV dan syarikat produksi yang mahukan bintang utama karya mereka memiliki lebih sejuta pengikut di media sosial.

Bagi pelakon, Zara Zya dia juga tidak menafikan bahawa isu 'lapuk' ini kini hangat diperkatakan dan pada masa sama tidak menolak sekiranya ia berlaku kerana peredaran zaman.

"Ini bukan isu baharu. Sejak awal kewujudan media sosial, ia mula diperkatakan, tetapi mungkin tidak sehangat hari ini.

"Banyak pihak lebih melihat jumlah pengikut di media sosial berbanding bakat. Itu umpama menjadi penanda aras untuk populariti seseorang.

"Namun bagi saya, kita kena juga mengikut peredaran zaman. Bakat dan populariti di media sosial itu perlu seiring," katanya.

Cukup dikenali sebagai pelakon versatil yang mampu menjayakan apa saja watak, Zara berpendapat sekiranya seseorang pelakon itu popular di media sosial, ada manfaat untuk dirinya.

"Kalau jumlah pengikut di media sosial banyak dan dapat meraih populariti di platform itu, bakat juga perlu seiring dan selari.

"Ada banyak manfaat dan kelebihan sekiranya seseorang itu popular di media sosial dan ramai pengikut. Namun, kalau dia memiliki bakat yang besar, itu menjadi sesuatu yang lebih baik dan lebih berkualiti," katanya.

Menurutnya, sekiranya seseorang pelakon itu hanya popular di media sosial, tetapi tidak berbakat, penonton juga akan memilih untuk tidak menonton sesuatu karya.

"Penonton sekarang sudah bijak memilih dan menilai sesuatu karya serta lakonan. Sekiranya seseorang pelakon itu hanya popular, namun bakatnya 'sendu' dan suam-suam kuku saja, penonton akan lari.

"Lebih baik mereka habiskan waktu untuk menonton karya lain di platform digital seperti Netflix dan dari situ muncul trend di mana ramai menganggap drama Melayu tiada kualiti.

"Jadi, sekali lagi saya tegaskan, kalau boleh biar populariti di media sosial itu datang seiring bakat anda," katanya.

Memulakan semula aktiviti penggambaran, Zara meluahkan rasa syukur kerana kerja tertunda kini dapat diteruskan.

"Alhamdulillah, kerja penggambaran kini berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, contohnya perlu menjalani ujian calitan dan sebagainya.

"Sekarang, saya menyambung semula penggambaran drama bersiri Mr Bibik yang tertunda sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Walaupun jadual kerjanya mula padat sehingga awal tahun hadapan, Zara tidak terlalu cerewet dalam memilih tawaran kerja.

"Alhamdulillah, jadual kerja pun dah padat semula hingga Januari tahun depan. Jadi, apa yang boleh saya katakan, tawaran kerja sentiasa ada.

"Saya tidak terlalu cerewet dalam memilih watak atau sesuatu karya. Pada masa sama, saya juga tidak tangkap muat kerana ingin menjaga kualiti kerja saya.

"Apa yang boleh saya katakan, tawaran kerja yang datang pun semua yang bagus dan tak ada yang merepek," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2021 @ 6:00am
d