utama

Serik dah suntik nak cantik, makan jamu

Oleh Redzuan Muharam

Jertih: "Saya mengaku tidak berfikir panjang ketika itu kerana hanya mahu dapatkan kulit cerah dan cantik tapi lain pula jadinya apabila penyakit yang datang," kata ibu seorang cahaya mata, Umi Hafiza Abdullah.

Umi Hafiza, 22, dari Kampung Padang Luas, di sini, mendapat perhatian di laman sosial selepas memuat naik video di TikTok menceritakan kisahnya dimasukkan ke Hospital Besut dan disahkan mengalami bengkak hati kesan pengambilan jamu serta suntikan kecantikan bagi mencerahkan badan.

Keadaan itu menyebabkan Umi Hafiza ditahan di hospital selama empat hari, dari 14 hingga 17 Oktober lalu sebelum dibenarkan pulang.

"Mulanya saya mengalami sakit perut dan pergi ke klinik untuk periksa puncanya tetapi doktor sahkan ia disebabkan masalah gastrik.

"Sakit itu berlarutan selama dua minggu hingga akhirnya dimasukkan ke hospital. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati hati saya bengkak dan doktor bertanya sama ada saya ada mengambil jamu atau suntikan kecantikan.

"Saya beritahu perkara sebenar dan doktor mengesyaki penyakit dialami ada kaitannya dengan jamu dan suntikan kecantikan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Umi Hafiza berkata, dia mengambil suntikan kecantikan di sebuah spa berhampiran rumah pada Mac, April dan Mei lalu dengan satu sesi dalam setiap bulan.

Di samping mendapatkan kulit yang cerah dan cantik, Umi Hafiza sanggup mengambil suntikan berkenaan kerana mahu meyakinkan pelanggan membeli produk komestik dijualnya secara dalam talian.

"Bagi saya, bila kita cantik, lebih mudah untuk tarik minat orang untuk membeli jadi beranikan diri mengambil suntikan kecantikan di sebuah spa.

"Kebetulan, spa berkenaan menawarkan harga promosi iaitu RM550 bagi tiga kali suntikan, sesuai dengan kemampuan saya.

"Setengah jam selepas suntikan pertama, saya berasa loya dan muntah tetapi kakitangan spa memaklumkan ia kerana badan saya kekurangan air.

"Jadi, saya anggap ia normal dan bertambah yakin apabila nampak kesan positif iaitu kulit jadi cerah selepas mengambil suntikan kali kedua. Bagaimanapun, saya mula sangsi apabila kulit jadi gelap semula tidak lama selepas sesi ketiga," katanya.

Umi Hafiza berkata, spa berkenaan ada menawarkan untuk meneruskan pengambilan suntikan tetapi dia enggan kerana tidak yakin dengan keberkesanannya.

"Apa yang berlaku membuatkan saya serik untuk ambil lagi suntikan kecantikan malah tidak lagi makan jamu walaupun sudah mengamalkannya sejak dua tahun lalu kerana takut penyakit jadi bertambah serius.

"Kini, saya ikut saranan doktor untuk jaga pemakanan dan berpantang daripada mengambil makanan pedas serta berlemak ketika ini.

"Perkongsian video di TikTok itu sekadar untuk berkongsi pengalaman sendiri dan peringatan untuk orang ramai khususnya wanita supaya elakkan mengambil suntikan kecantikan atau dapatkan dulu khidmat nasihat daripada doktor bertauliah supaya tidak menanggung derita seperti saya.

"Sedih juga apabila tengok orang lain bebas merentas negeri tetapi saya pula terpaksa duduk di rumah dan batalkan perancangan pulang ke kampung di Kemaman kerana masuk hospital," katanya yang perlu ke hospital akhir bulan ini untuk pemeriksaan darah.

Sementara itu, suaminya, Muhamad Hafiz Iqwan Mohd Hussin, 22, berkata dia tahu Umi Hafiza mengambil suntikan kecantikan berkenaan.

"Bagaimanapun, saya tidak halang kerana melihat kesungguhannya untuk nampak cantik.

"Akhirnya, dia yang merana kesan suntikan itu dan diharap perkongsiannya memberi kesedaran dan pengajaran supaya orang ramai berhati-hati," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2021 @ 9:04pm
d