utama

Sakit bukan halangan

Oleh Norhayati Nordin

Dari negara asal, Singapura merantau ke Malaysia pada 2004 bersama bakat seni dimilikinya, nama pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz, 45, bukan calang-calang dalam kalangan penggiat seni tempatan.

Bapa kepada tiga anak yang mula berlakon di negara kelahirannya sejak 2001 itu berjaya menyerlahkan bakat lakonan ke tahap lebih cemerlang di Malaysia hingga sekarang.

Malah, walaupun sudah melewati usia 40-an, namun rezeki Aaron menjadi 'hero' masih ada.

Namun, di sebalik komited Aaron terhadap karier lakonan, dia tetap akur dengan keadaan kesihatan diri yang mengalami masalah gangguan pada saraf leher sejak lapan tahun lalu.

Enggan menjadikan sakitnya itu penghalang untuk terus aktif dalam bidang lakonan yang amat dicintai, Aaron memberi jaminan dia masih boleh melakonkan babak aksi asalkan tidak keterlaluan.

Buktinya, pembabitan Aaron yang cukup dikenali dengan filem Ombak Rindu dan drama Adam & Hawa sebelum ini berjaya menampilkan lakonan mantap di dalam siri terbaharunya, Gerak Khas Undercover sebagai seorang anggota polis terbabit pelbagai penyamaran.

Aaron berkata, dia bersyukur tidak mengalami sebarang kesakitan sepanjang melakonkan dua babak besar dalam drama berkenaan memandangkan aksi itu dilakukan sendiri.

"Sebagai seorang pencinta seni lakon, saya selesa dapat melakukan babak-babak aksi dalam lakonan sendiri. Ia lebih memberikan saya kepuasan, cuma kini harus berhati-hati kerana masalah saraf dihidapi ini.

"Apapun, syukur kerana saya tetap boleh berlakon lagi. Malah, jika ditawarkan berlakon drama berkaitan kisah cinta dan kekeluargaan pun, saya okay kerana tiada masalah membawanya dengan sebaik mungkin.

"Selagi tidak membabitkan aksi pertarungan yang berat, saya okay saja berlakon pelbagai watak. Bagi saya, peluang yang penting dan tidak mahulah ada pihak produksi bimbang memikirkan sakit ini mengganggu reputasi kerja saya," katanya lagi.

Aaron difahamkan mengalami masalah saraf tersepit pada bahagian leher sejak 2012 hingga dia terpaksa keluar masuk hospital. Walaupun sering mendapatkan rawatan doktor, Aaron enggan melakukan pembedahan.

"Saya sepatutnya perlu menjalani pembedahan untuk mengubati masalah saraf ini, tapi biar dulu kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi dengan melambatkan kerja. Sekarang, saya hanya makan ubat dan buat rawatan fisioterapi.

"Selain itu, saya juga tidak mahu bercuti lama daripada lakonan akibat pembedahan terbabit. Apapun, alhamdulillah saya boleh lagi bertahan dengan ubat-ubatan yang dibekalkan doktor," katanya.

Aaron yang melakonkan watak Asistan Superintendan (ASP) Zaki dalam Gerak Khas Undercover berkata, sakit dialami itu adalah dugaan buatnya.

Menurut pelakon bertubuh sasa ini, dia reda dan menerima dengan tabah kerana sakit juga fitrah dalam kehidupan manusia.

Selain Aaron, barisan pelakon lain turut membintangi Gerak Khas Undercover ialah Erra Fazira, Datuk Rosyam Nor, Salina Saibi, Elizabeth Tan, Raja Afiq, Datuk Seri Eizlan Yusof, Farid Amirul, Khalida Balqis dan ramai lagi.

Tawaran sukar ditolak

Mengakui sangat berbesar hati kerana menjadi antara pelakon dipilih Skop Productions, Aaron berkata, dia sangat kagum dengan legasi seni keluarga Datuk Yusof Haslam dan anak-anaknya.

"Apabila saya ditawarkan berlakon untuk Gerak Khas Undercover ini, memang tak fikir lama untuk bersetuju kerana amat menghormati Datuk Yusof. Malah, saya juga yakin dengan kualiti produk seni dihasilkan Skop Productions.

"Justeru, saya berterima kasih di atas kepercayaan diberikan ini. Saya harap penonton akan terus menyaksikan Gerak Khas Undercover sehingga episod yang terakhir nanti. Kami semua yang membintangi drama ini sudah memberi terbaik," katanya.

Berbicara lanjut mengenai watak ASP Zaki, Aaron berkata, dia tertarik menerima watak itu kerana pernah melakonkannya dalam beberapa episod drama berkenaan sebelum ini.

"Saya pernah melakonkan watak ASP Zaki sebelum ini dan ada muncul dalam dua episod. Cuma, kali ini amat berbeza apabila saya turut berlakon dengan pelbagai watak termasuk menjadi jahat kerana menyamar.

"Malah, babak aksi yang saya lakonkan juga tidak keterlaluan. Jadi, ia memadai untuk hidupkan lakonan. Apatah lagi, secara logik pun polis tidak menumpaskan penjenayah seorang diri," katanya.

Menurut Aaron, kehadiran pelakon lain dalam drama ini dengan watak masing-masing juga membantu menguatkan jalan cerita.

Katanya, pelakon-pelakon itu juga perlu jayakan babak aksi.

Disiarkan pada: October 22, 2021 @ 6:00am
d