utama

Terkilan anak tak sempat pakai jubah, kopiah baharu ke pusat tahfiz [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Setiu: "Semalam, kami sempat keluar membeli barang keperluan seperti jubah dan kopiah untuk dibawa ke pusat tahfiz, namun terkilan arwah tidak sempat memakainya," luah Azahari Abdullah, 55.

Azahari memberi reaksi itu selepas kehilangan anak lelakinya, Muhammad Alif, 17, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 44, Jalan Merang, di sini, 3.20 petang, hari ini.

Menurut Azahari, sebelum kemalangan itu berlaku, Muhammad Alif yang belajar di sebuah sekolah tahfiz di Ajil, Kuala Berang keluar berkelah bersama rakan di Hutan Lipur Lata Payung, di sini.

Katanya, dia juga sempat berhubung melalui telefon dengan Muhammad Alif pagi hari ini selepas arwah keluar bersama rakannya itu seawal 8 pagi.

"Ketika berhubung dengannya kira-kira 3 petang, arwah memberitahu sudah dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Penarik, Setiu.

"Allah lebih menyayanginya dan saya reda dengan kejadian ini walaupun tidak sempat menghantar arwah pulang ke sekolah tahfiz esok," katanya ketika ketika ditemui di lokasi kejadian.

Azahari yang berasal dari Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu berkata, arwah anak ke empat daripada lima beradik dan seorang anak yang baik serta disenangi keluarga dan rakan.

Malah, katanya, sejak semalam, arwah sangat mesra dengan adik-beradiknya dan tidak menyangka kemesraan arwah itu yang terakhir buat keluarga.

Mengenai kemalangan yang menimpa Muhammad Alif, menurut sumber, ia dikatakan berlaku ketika mangsa bersama beberapa rakan berkonvoi motosikal dalam perjalanan dari arah Penarik ke Kuala Terengganu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dikatakan bergesel dengan motosikal rakannya ketika mengelak lubang.

Berikutan itu, sumber berkata, mangsa yang dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang juga berusia 17 tahun dari Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu cedera ringan dan dirawat di Hospital Setiu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Maut bergesel motosikal terbabas elak lubang

Disiarkan pada: October 22, 2021 @ 8:24pm
d