utama

Kasih isteri urus suami strok [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kulim: "Saya percaya Allah tidak akan menguji di luar kemampuan hamba-Nya dan saya cuba kuat kerana tahu ramai lagi di luar sana yang lebih dahsyat ujiannya," kata ibu dua anak, Syazwani Adnan.

Syazwani, 27, dari Taman Rambai, di sini, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi pengalamannya menjaga suami, Shahrul Liza, 28, yang mengalami strok sebelah kanan badan dan kini tidak dapat bertutur.

Kisah Syazwani tular di laman sosial selepas memuat naik video di TikTok mengenai rutinnya menguruskan suami dan kesungguhan serta kesetiaannya terhadap Shahrul turut mendapat pujian netizen.

Bercerita lanjut, Syazwani berkata, dia dan Shahrul sudah berumah tangga sejak lima tahun lalu dengan sebelum ini, suaminya itu yang menjadi tulang belakang keluarga.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah selepas Shahrul diserang strok selepas terjatuh di tandas pejabat pada 3 Ogos lalu menyebabkan Syazwani perlu mengambil alih tugas menguruskan keluarga.

"Suami saya tidak mengalami simptom kerana pagi sebelum kejadian, dia sempat bersarapan dan menghadiri mesyuarat bersama abah (Adnan Sahat, 53).

"Bagaimanapun, saya dikejutkan dengan panggilan memaklumkan suami terjatuh di tandas dan pengsan.

"Ingatkan tiada yang serius namun doktor beritahu ada pendarahan pada otak dan ia salah satu punca suami diserang strok selain keletihan akibat terlalu lama menghadap komputer serta bermain permainan video," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Syazwani berkata, suaminya ditahan selama sembilan hari di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada 12 Ogos lalu.

Biarpun sedih, Syazwani cuba sembunyikan perasaannya itu malah menyambut kepulangan Shahrul ke rumah dengan tenang seolah-olah suaminya itu tidak sakit.

"Setitik air mata saya pun tidak tumpah ketika suami pulang ke rumah kerana mahu dia (suami) nampak saya kuat di hadapannya

"Saya anggap dia seperti tidak sakit dan layan seperti biasa walaupun hakikatnya sedih melihat keadaannya.

"Ikutkan, saya tiada pengalaman menjaga orang sakit tetapi cuba uruskan suami termasuk suapkan makan, mandikan dan bersihkan najisnya.

"Emak (Elouny Mahany Abd Aziz, 47) saya tinggal sebulan di rumah kami pada awalnya jadi dia yang banyak membantu menjaga anak sementara saya menguruskan suami," katanya.

Berkongsi keadaan Shahrul, Syazwani berkata, pada awalnya suaminya itu hanya terlantar di katil, malah minum menggunakan saluran tiub selain makan bubur saja.

Menurut Syazwani, keadaan bertambah baik pada bulan lalu apabila suaminya boleh duduk di kerusi roda dan makan serta minum seperti biasa.

"Kini, dia sudah boleh masuk sendiri ke dalam kereta dan ikut saya bersiar ambil angin atau pergi ke kedai.

"Buat masa ini, dia masih tidak boleh bercakap namun saya ada ajarnya mengeja dan menaip di telefon bimbit dan papan tulis sebagai isyarat jika mahukan sesuatu.

"Kiranya, saya perlu latih dan menguruskannya seperti budak kecil dan ia memang memerlukan kesabaran tinggi. Syukur anak faham keadaan suami walaupun mereka masih kecil malah keluarga abah banyak membantu kerana ketika sihat dulu, suami bekerja dengannya (abah)," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok yang tular, Syazwani mengakui terkejut dan menganggap ia di luar jangkaannya.

"Saya sebenarnya lebih banyak kongsikan rutin dengan suami di Instagram (IG) cuma baru-baru tergerak hati untuk muat naik video di TikTok kerana seronok tengok pasangan lain lakukannya.

"Tak sangka video itu meraih tontonan tinggi malah ada juga pengikut berkongsi rasa sebak mereka kerana turut lalui pengalaman sama iaitu menjaga suami yang sakit.

"Apa pun, saya akan terus menjaganya selagi terdaya dan berharap dia sihat semula kerana menurut doktor, suami kemungkinan boleh sembuh dalam tempoh setahun," katanya yang masih perlu membawa suaminya melakukan pemeriksaan, rawatan dan terapi susulan di hospital.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 8:55pm
d